Lokasi kejadian seorang lelaki dibunuh adiknya sendirn di Taman Sri Mahkota, Kulim, Kedah.

KULIM – Hasil bedah siasat kematian seorang lelaki yang didakwa terjatuh semasa bekerja di kandang kambing Taman Sri Mahkota di sini semalam membongkar mangsa sebenarnya dibunuh.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd Redzuan Salleh berkata, ia bermula apabila pihaknya menerima laporan daripada pada seorang lelaki berusia 26 tahun kira-kira pukul 12.30 tengah hari semalam yang mendakwa adiknya terjatuh semasa bekerja.

Jelas beliau, lelaki itu mendakwa kejadian berlaku pada pukul 10.10 pagi sebelum membawa mangsa ke Hospital Kulim untuk rawatan namun disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital.

“Susulan laporan kematian itu, kita menghantar mayat mangsa ke Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar untuk proses bedah siasat.

“Bagaimanapun hasil laporan bedah siasat membawa kepada penemuan mangsa sebenarnya meninggal dunia akibat dibunuh selain terdapat kesan tikaman di bahagian jantung.

“Susulan itu kita menahan suspek dan hasil siasatan awal dia mengaku menyembunyikan kejadian sebenar,” katanya dalam kenyataan  hari ini.

Tambah Mohd Redzuan, siasatan lanjut pihaknya mendapati mangsa sebenarnya dibunuh seorang lagi suspek iaitu adiknya berusia 18 tahun.

Ekoran itu, pihak polis menahan suspek dan siasatan awal mendapati berlaku pertengkaran antara mereka sebelum dia menikam abangnya.

“Pihak polis masih menjalankan siasatan berhubung kes ini termasuk mengenal pasti punca pergaduhan.

“Kedua-dua beradik itu kini direman selama tujuh hari sehingga 14 Ogos ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Selain itu, semakan juga mendapati suspek yang menyembunyikan kejadian itu mempunyai dua rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah manakala adiknya juga mempunyai rekod lampau berkaitan dua kes jenayah,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast