Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Johor, Aminolhuda Hassan

JOHOR BAHRU – Parti Amanah Johor masih menunggu senarai penuh nama calon yang akan bertanding bagi kerusi Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram pada Pilihan Raya Kecil (PRK) bulan depan.

Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Johor, Aminolhuda Hassan berkata, setakat ini, Amanah Johor hanya menerima satu nama calon bagi kerusi Parlimen Pulai dan belum menerima sebarang nama untuk kerusi DUN Simpang Jeram.

Beliau berkata, pimpinan Pulai dan Bakri diingatkan supaya mengemukakan senarai nama penuh calon mereka selewat-lewatnya Ahad ini (13 Ogos) sebelum diserahkan kepada kepimpinan Pusat gabungan itu.

“Kita akan dapat (senarai nama calon) minggu depan kerana selepas selesai PRN (Pilihan Raya Negeri) di enam negeri, pada Ahad ini kita akan duduk berbincang untuk tengok sekali lagi dan waktu itu sudah lengkaplah senarai nama.

“Apa yang penting, calon itu ialah muka baharu, bermakna mereka tidak pernah bertanding di kerusi berkenaan sebelum ini. Memang itu antara kriteria yang kita tetapkan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Amanah Johor di sini malam tadi.

Aminolhuda yang juga Pengerusi Amanah Johor ketika ditanya berhubung desas-desus dakwaan bahawa Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad akan disenaraikan sebagai calon Kerajaan Perpaduan pada PRK berkenaan, beliau berkata, perkara itu tertakluk kepada keputusan kepimpinan Pusat dan pihaknya akan akur dengan ketetapan yang dibuat.

Mengulas laporan berita Sabtu lepas tentang anak perempuan kepada Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub, Siti Fatihah antara nama yang disebut-sebut bakal dicalonkan untuk mewakili Amanah pada pilihan raya itu, Aminolhuda memaklumkan calon yang akan bertanding berkemungkinan lelaki.

“Mungkin calon merupakan lelaki, tetapi terpulang kepada kepimpinan Pusat, kita di peringkat negeri akan senaraikan calon-calon yang dirasakan layak, berkaliber dan berintegriti. Apa yang penting kita mahukan calon itu mestilah anak tempatan dan juga orang Johor. Namun, jika kepimpinan Pusat buat keputusan lain, kita ambil maklum,” kata Ahli Parlimen Sri Gading itu.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan penamaan calon bagi PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram pada 26 Ogos, manakala pengundian awal 5 September dan hari pengundian pada 9 Sept ini.

PRK bagi kerusi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram diadakan ekoran kekosongan luar jangka berikutan kematian Salahuddin yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada 23 Julai lepas. – Bernama