Mohammad Azmin didakwa atas dua pertuduhan termasuk cubaan bunuh bayi berusia 44 hari di Mahkamah George Town, Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Mahkamah Sesyen Jenayah di sini, hari ini memerintahkan bekas pemandu lori, Mohammad Azmin Hamanullah dihantar ke Hospital Bahagia Tanjung Rambutan, Perak bagi menjalani rawatan psikiatri.

Perintah itu dikeluarkan Hakim Mazdi Abdul Hamid selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Lee Jun Keong dan Nurnajihatul Idayu Mohd Azuyar bagi pemeriksaan mengikut Seksyen 342 Kanun Acara Jenayah.

Terdahulu, Mohammad Azmin, 28, mengaku bersalah atas dua tuduhan cubaan membunuh dua anak saudaranya pada 2 Ogos lalu.

Mohammad Azmin mengaku bersalah atas pertuduhan cubaan bunuh.

Tertuduh membuat pengakuan itu selepas dua pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa secara berasingan dihadapkan Mazdi.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Mohammad Azmin didakwa dengan niat telah melakukan perbuatan cubaan membunuh sehingga menyebabkan kecederaan terhadap seorang bayi perempuan berusia 44 hari dan kakaknya berusia tiga tahun.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di satu unit Flat Nusantara, Jalan Makloom di sini, antara jam 3 hingga 3.30 petang pada 2 Ogos lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 307 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 10 tahun serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Jika perbuatan itu menyebabkan kecederaan kepada seseorang, tertuduh turut boleh dihukum di bawah kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 11 September depan sebagai sebutan semula kes.

Semasa prosiding, Jun Keong dan Nurnajihatul Idayu memohon kepada mahkamah supaya tertuduh tidak dibenarkan ikat jamin selain dirujuk dan menjalani rawatan di Hospital Bahagia.

Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh dihantar ke Hospital Bahagia bagi menjalani rawatan psikiatri dan menetapkan 11 September depan untuk sebutan semula kes.

MalaysiaGazette pada 3 Ogos lalu melaporkan, seorang bayi perempuan dan kakaknya berusia tiga tahun cedera selepas dihempas serta dicampak bapa saudara mereka dalam kejadian di sebuah flat di Sungai Pinang di sini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, suspek berusia 28 tahun itu ditahan sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Daerah Timur Laut ketika menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP).

Manakala kedua-dua mangsa yang merupakan anak kepada kakak suspek dilaporkan berada dalam keadaan stabil selepas menerima rawatan di hospital sama. – MalaysiaGazette