Bekas guru besar sebuah Sekolah Rendah Agama (SRA), Kamaludin Sahlan dipenjara satu hari dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen, Shah Alam hari ini. Foto Ihsan SPRM Selangor

KUALA LUMPUR – Bekas guru besar sebuah Sekolah Rendah Agama (SRA) dipenjara satu hari dan denda RM10,000 di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini.

Tertuduh, Kamaludin Sahlan, 51, mengaku bersalah di hadapan Hakim Datuk Anita Harun atas pertuduhan rasuah berhubung kerja-kerja selenggara dan naik taraf bangunan dan infrastruktur SRA dalam daerah Petaling dan Kuala Selangor pada 2019.

Bapa kepada seorang anak itu juga diperintahkan menjalani tambahan penjara lima bulan sekiranya gagal membayar denda itu.

Sebelum ini, Kamaludin bertugas di SRA dalam daerah Petaling Jaya didakwa meminta 11 peratus daripada seorang lelaki sebagai dorongan.

Selain itu, bagi membantu individu tersebut mendapatkan kerja-kerja selenggara dan naik taraf bangunan dan infrastruktur SRA dalam daerah Petaling dan Kuala Selangor.

Tertuduh juga mengakui kesalahan rasuah dengan menerima RM164,800 menerusi pindahan ke akaun bank miliknya daripada seorang lelaki berusia 53 tahun atas tujuan sama.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah premis di Telok Panglima Garang, Kuala Langat dan sebuah cawangan bank di Kota Kemuning, Seksyen 31 di sini antara Mei 2019 hingga 21 April 2021.

Kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah seksyen 24(1) akta yang sama.

Sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 bagi setiap pertuduhan.

Bagaimanapun, mahkamah mengambil kira pengakuan tertuduh dengan penjatuhan hukuman dibawah pertuduhan pertama.

Peguam Mohd. Shahrullah Khan Nawab Zadah Khan dalam rayuan bagi Kamaludin memaklumkan anak guamnya itu sangat menyesal dan insaf atas kesalahan dilakukan.

“Kami memohon hukuman ringan memandangkan Kamaludin bukan sahaja akan dipenjara atau denda malah kehilangan kerja, gratuiti dan pencen,” jelasnya.

Pegawai Pendakwa SPRM Mohd Aliff Shaharuzaman kemudian menegaskan kesalahan rasuah adalah serius dan sudah bermaharajelela dalam masyarakat.

Pada 15 Mac tahun lalu, MalaysiaGazette melaporkan dua guru termasuk seorang guru besar yang disyaki berkomplot dalam rasuah projek naik taraf 27 bangunan SRA direman selama empat hari bagi membantu siasatan kes tersebut. – MalaysiaGazette

Bekas guru besar sekolah agama mengaku tak bersalah terima rasuah RM164,800

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast