Menteri Dalam Negeri , Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail

KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung pemohonan Notis Merah polis antarabangsa (Interpol) terhadap menantu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan seorang lagi individu yang dipercayai melarikan diri.

Ia berkaitan kes penyelewengan projek pendaftaran, pengambilan dan penyimpanan biometrik pekerja asing bagi sebuah kementerian.

Bagaimanapun, Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya tidak akan campur tangan dalam siasatan yang sedang dijalankan oleh SPRM.

“Apabila sesuatu subjek itu yang diletakkan dalam status ‘wanted list’ ke dan sebagainya dan apa lagi subjek itu berada di luar negara, biasanya pihaknya KDN akan diminta untuk memberikan kerjasama daripada agensi penguatkuasa.

“Dalam kes ini, SPRM biasanya mereka akan memaklumkan kepada kita dan kita akan melihat bentuk kerjasama apa yang diperlukan. Saya fikir itu mungkin proses biasa kalau kes berporfil tinggi misalnya, ada juga yang membawa kepada perintah sekatan dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Seminar Pembangunan Modal Insan dan Sahsiah Diri, di sini, hari ini.

Ditanya adakah kedua-dua suspek akan diletakkan dibawah senarai individu dikehendak, Saifuddin Nasuition berkata, beliau tidak akan masuk campur tangan.

“Saya ingin sebutkan dulu, setakat yang telah diberikan laporan oleh Tan Sri Azam Baki (Ketua Pesuruhjaya SPRM), ia kekal begitu dulu. Saya tidak mahu masuk dalam encroach dalam territory itu (tidak mahu campur tangan),” ujarnya.

Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, permohonan itu akan dilakukan dengan bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam masa terdekat.

Katanya, permohonan terhadap dua individu itu dilakukan sekiranya mereka tidak muncul bagi membantu siasatan SPRM.

Beliau menjelaskan, SPRM juga akan minta kerjasama PDRM dan Jabatan Imigresen untuk membekukan pasport dua individu berkenaan. – MalaysiaGazette