Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor diarah untuk mengambil tindakan segera merampas dan menyita sebarang iklan berkaitan produk rokok elektronik (Vape) di mana-mana medium pengiklanan, sama ada fizikal mahupun digital.

Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar, Jamaliah Jamaluddin berkata, tindakan itu selaras dengan peruntukan Akta Kawalan Produk Merokok untuk Kesihatan Awam 2023 (Akta 852) yang secara jelas melarang sebarang bentuk pengiklanan, promosi dan penajaan berkaitan produk merokok elektronik.

“Kerajaan Negeri Selangor ingin memastikan setiap dasar yang diperkenalkan mengambil kira impak terhadap kesihatan awam dan generasi akan datang.

“Kerajaan negeri juga amat mengalu-alukan peranan aktif ibu bapa, institusi pendidikan, masyarakat sivil serta agensi berkaitan di peringkat negeri dan Persekutuan dalam memastikan tindakan yang diambil benar-benar berkesan dan mampan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu dalam kenyataan sama Jamaliah berkata, kerajaan negeri Selangor sentiasa komited dalam melindungi kesihatan awam rakyat, khususnya generasi muda daripada ancaman penggunaan vape yang semakin membimbangkan.

Ujarnya, baru-baru ini, satu mesyuarat penyelarasan berhubung cadangan mempertimbangkan pengharaman penjualan vape di Selangor telah diadakan dan dipengerusikan olehnya.

Tambah beliau, mesyuarat tersebut turut disertai Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Dr. Ummi Kalthom Shamsuddin, wakil Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), wakil-wakil PBT serta pegawai-pegawai Pejabat Kesihatan Daerah (PKD).

“Mesyuarat telah meneliti pelbagai isu berkaitan penggunaan dan penjualan vape, termasuk cabaran penguatkuasaan, pelesenan, aspek perundangan serta pemantauan.

“Isu penjualan secara dalam talian turut dibincangkan memandangkan ia sukar dikawal dan sering menjadi saluran utama kepada golongan remaja untuk mendapatkan produk ini,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast