KUALA LUMPUR – PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan peningkatan trafik mencecah sehingga 1.9 juta kenderaan sehari pada hari-hari puncak di Lebuhraya Utara-Selatan bermula esok dan Sabtu.
Sehubungan itu, Pengurus Besar Kanan Operasi PLUS, Mohd Yusuf Abdul Aziz measihatkan orang ramai yang ingin pulang ke kampung halaman atau menuju ke lokasi mengundi masing-masing supaya membuat persiapan rapi dan merancang perjalanan dengan lebih baik untuk pulang serta kembali semula ke ibu kota semasa tempoh tersebut.
Katanya, pengguna lebuh raya juga perlu menjangkakan tempoh perjalanan yang lebih panjang di lebuh raya berikutan peningkatan kenderaan berbanding hari-hari biasa.
Beliau berkata, PLUS membuat pelbagai persediaan merangkumi aspek pengurusan operasi serta kemudahan lebuh raya di plaza tol dan kawasan rehat dan rawat (R&R) agar kesemuanya berada pada tahap yang terbaik untuk menerima pertambahan kenderaan di lebuh raya.
“Pada masa yang sama, PLUS juga menghentikan sementara kerja-kerja penyelenggaraan, naik taraf atau pembinaan yang memerlukan penutupan lorong di lebuh raya bermula 11 Ogos sehingga 13 Ogos 2023, kecuali melibatkan kerja-kerja kecemasan seperti pengalihan kenderaan yang terlibat di dalam kemalangan, pembersihan lokasi kemalangan dan kerja- kerja pembaikan yang kritikal,” jelas Mohd Yusuf dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, PLUS juga memastikan semua kemudahan awam seperti tandas, surau serta stesen minyak di kawasan R&R serta hentian sebelah beroperasi 24-jam sehari untuk menampung kehadiran pengunjung.
Pengguna lebuh raya juga digalakkan untuk berhenti rehat setiap dua jam pemanduan dan menikmati pelbagai pilihan makanan dan minuman yang disediakan oleh rakan niaga kami di R&R sebelum menyambung semula perjalanan.
Katanya, dengan memuat turun Aplikasi PLUS, pengguna lebuh raya boleh merancang perjalanan dan mendapatkan maklumat trafik terkini di lebuh raya.
Sebagai alternatif, orang ramai boleh mengikuti laporan trafik menerusi Twitter@PLUSTrafik, Chatbot PUTRI, papan tanda elektronik (VMS) di lokasi-lokasi terpilih, talian PLUSLine di 1800-88-0000, serta melalui stesen-stesen radio tempatan.
“Pengguna lebuh raya juga disaran menggunakan Aplikasi Waze atau Google Maps untuk merancang perjalanan mereka.
“Para pengguna lebuh raya dinasihatkan untuk mematuhi had laju, arahan lalu lintas dan berhati-hati ketika memandu. PLUS juga mendoakan agar semua pengguna lebuh raya selamat sampai ke destinasi untuk menunaikan tanggungjawab anda,” kata beliau. – MalaysiaGazette