Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun diiringi Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias dan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke bergambar bersama calon-calon yang menang pada Pilihan Raya Negeri ke-15 (PRN) bagi Negeri Sembilan di Klana Resort Hotel, Seremban, Negeri Sembilan. Foto AFFAN FAUZI, 12 OGOS 2023.

KEPUTUSAN pertandingan antara dua gabungan parti politik dalam pilihan raya kecil semalam berakhir dengan seri 3-3.

Pakatan Harapan bergabung dengan Barisan Nasional (PH-BN) dapat tiga negeri, Perikatan Nasional – Bersatu dan Pas (PN) dapat tiga negeri.

Rakyat telah buat pilihan begitu adil dan saksama sekali dengan setiap gabungan parti dapat sama banyak, tanpa kurang, tanpa berlebihan.

Walaupun keputusan seri tapi corak permainan kedua gabungan parti amat sengit sekali dengan setiap calon masing-masing bekerja keras untuk menawan gawang lawan.

Ada yang bolos, ada yang dapat ditangkis. Namun, banyak juga jaringan pihak penyandang dibolos pihak lawan walaupun gagal melepasi jumlah gol yang disasarkan.

Bawah Kolong (BK) ambil contoh Selangor, sebelum PRU15, PH menang 51 kerusi, selepas PRN15 malam tadi, PH hanya beroleh 34 kerusi manakala 22 kerusi lagi berjaya dimenangi PN.

Begitu juga Pulau Pinang, PN telah menerobos 11 daripada 29 kerusi DUN. Terengganu, PN sapu bersih 32 kerusi, mengulangi sejarah Pas di Kelantan dalam PRU 1990.

Kedah dan Kelantan, PN hampir-hampir sapu bersih, tetapi PH dapat juga tiga kerusi di Kedah dan dua kerusi di Kelantan. Manakala Negeri Sembilan, daripada 36 kerusi dipertandingkan, PH-Bn dapat 31, PN dapat lima.

Tidak sedikit UMNO dan PH hilang kerusi dalam PRN kali ini.

Trend pengundi yang tidak menentu arah sokongannya menyebabkan ramai penganalisis pening. Penganalisis melihat permasalahan di negeri sebagai faktor pengundi akan membuat pilihan.

Namun ternyata faktor itu bukan penyebab kepada penentu menang kalah sesebuah negeri. Sebaliknya, bergantung kepada isu nasional. Apa yang dibuat oleh pihak kerajaan kepada pihak pembangkang. Dengan kata lain, penindasan.

Kita tengok di Kelantan, selama 33 tahun negeri itu dibelenggu oleh permasalahan yang tidak pernah selesai. Kalau dikira, sudah tentu rakyatnya sudah bosan dan akan buat keputusan untuk tukar pentadbiran.

Malangnya walaupun kerajaan Pas Kelantan gagal menyelesaikan masalah rakyat, kemenangan tetap berpihak kepada parti itu malah makin bertambah jumlah kerusi.

Nak kata rakyat Kelantan unik, keputusan ini tidak menunjukkan satu keunikan pun. Jauh sekali nak dikatakan rakyat Kelantan bijak. Bijak apa, kalau tak pandai nak beza antara parti yang banyak jasanya kepada rakyat dengan parti yang banyak timbulkan permasalahan kepada rakyat.

Maknanya ada sesuatu yang sangat-sangat istimewa dalam kepimpinan Pas yang disukai rakyat dan tidak diketahui oleh musuhnya.

Kalau nak kata rakyat Kelantan bijak, sudah tentu mereka pilih UMNO. Sebab parti ini cukup banyak jasa dan banyak pula bawa pembangunan serta kemajuan tapi dinafikan kemenangannya begitu saja.

Seolah-olah rakyat sudah nekad untuk menguburkan parti paling tua di Malaysia ini, yang digelar parti keramat orang Melayu.

Pas pun parti tua juga. Kedua tertua dari UMNO tetapi makin tua makin disukai rakya, terutama anak-anak muda. Mereka langsung tidak kekok mendampingi orang tua berjubah, berserban.

Ini yang dikatakan aura. Power bau minyak atar itu mengkhusyukkan anak muda untuk lebih menyayangi pemimpin Pas. Soal pemimpin cakap hodoh, mulut celupar itu nombor dua. Mereka tak pernah kisah. Malah itulah jenaka yang menghiburkan.

Paling utama, imej sederhana dibawa pemimpin Pas itu berjaya menarik minat orang ramai. Mereka senang didekati, tidak sombong dan murah senyuman walaupun kedekut daripada segi khidmat bakti.

Ini tidak ada pada pemimpin UMNO. Sebut saja UMNO, sudah tertanam dalam persepsi orang ramai, UMNO ini sombong, megah, kedekut senyuman, tidak mesra, tidak ramah dan jumpa rakyat secara bermusim.

BK tak tahulah betul atau tidak tetapi itulah yang sampai ke telinga BK. Setiap reaksi rakyat walaupun kecil, harus diambil berat oleh kepimpinan UMNO.

Dan lagi, sudah tertanam juga dalam minda rakyat bahawa kepimpinan UMNO ini terpalit dengan rasuah, kaya raya, rumah besar, kereta besar dan hidup mewah walaupun merekalah penyumbang terbanyak zakat setiap tahun.

Ini berbeza dengan pemimpin Pas, walaupun rumah banglo, riasnya tidak kelihat terlalu mewah. Walau berkereta mewah, bukan dijadikan kenderaan harian. Mereka sentiasa mahu rakyat melihat mereka hidup zuhud.

Dan satu lagi, cakap belit, beri alasan tidak munasabah tetapi didengar logik oleh rakyat adalah mainan harian mereka. Inilah kelebihan Pas yang tak ada pada UMNO.

Apa pun, BK harap pucuk pimpinan UMNO muhasabah diri dengan keputusan pilihan raya negeri malam tadi. Banyak struktur parti nak kena ubah dan rombak. Jangan cukup berpuas hati dengan apa yang ada.

Selain itu, post mortem atau bedah siasat sudah tidak relevan lagi digunakan untuk cari punca kekalahan. Post mortem dan bedah siasat hanya khusus untuk sesuatu yang sudah mati.

Kalau sudah mati, nak bedah siasat apa lagi. Hanya sekadar nak tahu punca kematian? Itu bukan jawapannya.

Jawapannya ada pada diri sendiri. Tanya diri, apa yang aku telah lakukan hingga parti aku tak lagi diterima rakyat pelbagai lapisan umur.

Tengok diri sendiri, imbau sejarah diri dan kenangkan balik kelakuan diri sepanjang mengetuai parti.

Dan lebih penting, jika kita sudah dapat jawapan itu, eloklah mengundurkan diri. Beri laluan kepada yang lebih muda dan berintegriti.

Sekianlah saja pandangan dan nasihat dari BK. BK pun dah nak bersara. Tinggal lagi satu atau dua bulan. Lepas ini BK tidak lagi terlibat dengan sebarang komentar.

BK nak balik kampung, nak usahakan tanah. Mana tahu ada REE dalam tanah sekangkang kera BK. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast