Zafrul Sungai Kandis
Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – “Jika keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang berlangsung Sabtu lalu bukan amaran akhir kepada soal survival parti Melayu (UMNO) ini, saya tidak tahu apa lagi jenis amaran yang perlu diberi sebelum kita menyedari kita sudah ditolak.”

Itu rumusan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan dengan itu, beliau berharap kepimpinan UMNO bangkit dan memperbetulkan keadaan parti yang bukan sekadar ingin mengejar kuasa jangka masa pendek tetapi usaha yang bersungguh untuk kembali diyakini rakyat dan juga akar umbi parti.

Katanya, tindakan itu penting untuk masa hadapan dan survival parti terutamanya di Selangor.

Beliau yang pernah disebut-sebut akan bertanding dalam PRN namun tidak dicalonkan berkata, UMNO Selangor juga perlu kembali mengenal pasti segmen yang perlu mereka dekati untuk diberi keutamaan dalam perjuangan UMNO.

Artikel berkaitan: 

“Semua di dalam UMNO, termasuk saya perlu muhasabah diri dan membina semula kekuatan parti supaya kita dapat kembali berdiri gagah tanpa bergantung kepada mana-mana parti,” katanya.

Menurut Zafrul, walaupun keputusan di Selangor mengekalkan Kerajaan Perpaduan namun ia tidak mampu menutup hakikat pedih bahawa prestasi Barisan Nasional amat lemah di Selangor.

Katanya, dari 12 kerusi yang ditandingi BN, yang menang hanyalah dua – termasuk satu yang asalnya ialah kerusi DAP.

Malah, selain satu kes unik Sungai Air Tawar yang lebih mencerminkan kehebatan calon, PRN Selangor kelmarin menyerlahkan seolah-olah semakin ramai pengundi Melayu di sesebuah kawasan, semakin susah UMNO hendak menang.

“Hakikat ini harus diamati terutamanya oleh pemimpin UMNO di Selangor. Jika keputusan PRN ini bukan amaran akhir kepada soal survival parti Melayu ini, saya tidak tahu apa lagi jenis amaran yang perlu diberi sebelum kita menyedari kita sudah ditolak.

“Di Selangor, setelah 15 tahun, UMNO masih lagi ditolak.Ramai ahli-ahli UMNO Selangor yang berkongsi kekecewaan dan kesedihan mereka dengan nasib UMNO di Selangor,” katanya.

Zafrul berkata, dalam senario politik kini, strategi, ketrampilan dan daya tarikan parti menjadi penentu kejayaan atau kegagalan.

UMNO, katanya, bukan milik kelompok mana-mana malah parti itu ditubuhkan untuk menyatupadukan orang Melayu, atas sebab itu UMNO tidak boleh terlalu radikal.

Beliau berkata, UMNO perlu meraikan pandangan dan pandangan ini perlu diurus dengan baik agar UMNO terus subur menjadi sebuah parti tempat orang Melayu berteduh.

“Hari ini hala tuju dan ideologi UMNO Selangor perlu jelas dan diterima ahli akar umbi, bukan semata-mata dilihat hanya ingin mengejar tampuk kuasa tetapi dalam masa yang sama tidak dapat memberi keyakinan kepada ahli di bawah dan juga rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast