Roberto Mancini membawa Itali menjuarai Kejuaraan Eropah 2020.

LONDON – Roberto Mancini meletakkan jawatan sebagai pengendali skuad kebangsaan Itali selepas lima tahun membimbing skuad itu.

Persekutuan Bolasepak Itali dalam satu kenyataan berkata, mereka akan mengumumkan penggantinya beberapa hari lagi, menjelang aksi kelayakan Euro menentang Macedonia Utara dan Ukraine awal bulan depan.

Mancini dilantik pada Mei 2018 selepas Itali gagal layak ke Piala Dunia 2018 di bawah kendalian Gian Piero Ventura di mana kali pertama mereka terlepas menyertai kejohanan itu sejak tahun 1958.

Mancini, 58, membawa Itali menjuarai Kejuaraan Eropah 2020 iaitu trofi pertama mereka sejak Piala Dunia 2006, dan menduduki tangga ketiga Liga Negara-Negara Eropah edisi 2021 dan 2023.

Bekas pengendali Manchester City itu bermula cemerlang dengan membawa Itali mengharungi rekod 37 perlawanan tanpa kalah dari Oktober 2018 sehingga Oktober 2021.

Kemenangan penentuan penalti ke atas England pada final Euro 2020 menjadi kemuncak era Mancini bersama Itali, namun mereka gagal melayakkan diri ke Piala Dunia 2022 selepas tewas kepada Macedonia dalam aksi play-off. – Agensi