KUALA LUMPUR – Calon Pas bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, Nushi Mahfodz amat terharu atas kepercayaan dan semangat persaudaraan Islam yang ditunjukkan oleh pengundi UMNO sehingga membolehkan beliau menang pilihan raya Sabtu lalu.
Nushi yang mendapat 37,068 undi berkata, dalam meraikan kemenangan beliau tidak dapat melupakan jasa para pengundi yang satu agama dari kalangan ahli UMNO.
“Saya berasa amat terharu atas kepercayaan dan semangat persaudaraan Islam yang kalian hulurkan.
“Semoga kita dapat terus bersama, bersatu memacu ummah, membimbing rakyat di kawasan kita agar terus berpadu untuk Semenyih yang lebih maju, dan seimbang untuk agama.
“Sama-sama kita bentuk suasana Islam yang memimpin kesejahteraan rakyat Semenyih. Tahniah, kerana anda memiliki jati diri yang tinggi!” katanya dalam kenyataan.
Nushi menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Wan Zulaika Anua yang memperoleh 35,806 undi.
Menurut beliau, jumlah kemenangan dengan majoriti sekadar 1,262 undi itu menandakan masih ramai yang belum bersedia menerima dirinya dan Perikatan Nasional di Semenyih.
“Banyak lagi yang perlu dilakukan oleh saya dan jentera untuk mendekati dan memberikan penerangan berkenaan gabungan baru ini iaitu Perikatan Nasional.
“Banyak lagi yang perlu dilakukan oleh saya dan jentera untuk mendapatkan kepercayaan rakyat seperti mana pencapaian yang telah berlaku kepada negeri Perlis, Kedah, Terengganu dan Kelantan,” katanya.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 kerusi DUN Semenyih dimenangi oleh Bakhtiar Mohd Nor daripada Pakatan Harapan. – MalaysiaGazette