Bekas pegawai Maybank, Abas Sulaiman didakwa atas pertuduhan mengubah suai tanpa kuasa terhadap sistem kad kredit selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 15 OGOS 2023.

KUALA LUMPUR – Seorang bekas pegawai Maybank dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mengubahsuai had kad kredit miliknya antara April 2022 hingga Jun lalu.

Tertuduh, Abas Sulaiman, 44, merupakan bekas eksekutif khidmat pengesahan mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Priscilla Hemamalini Nadarajan.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan niat melakukan capaian kepada sistem Kenaikan Had Kredit Kekal (PICL) hingga menyebabkan pengubahsuaian tanpa kuasa terhadap sistem itu.

Ia dilakukan di Menara Maybank, Jalan Dang Wangi di ibu negara antara 25 April 2022 hingga 24 Jun tahun ini.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara tidak lebih tujuh tahun atau didenda maksimum RM100,000 atau atau kedua-duanya.

Kes didakwa mengikut Seksyen 5(1) Akta Jenayah Komputer 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 5(4) akta sama.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Nurilya Ellyna Nor Azmal mencadangkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam tertuduh, Md Radzi Mustafa memohon kadar itu dikurangkan kerana anak guamnya tiada punca pendapatan selepas tidak lagi bekerja selain menanggung isteri dan empat anak.

Hakim Priscilla kemudian membenarkan ikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes pada 29 Ogos ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast