Saifuddin Nasution

KUALA LUMPUR – Jabatan Penjara menafikan bahawa Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail terlibat dalam urusan tender pembekalan kain penjara seperti yang ditularkan di media sosial.

Jabatan Penjara dalam kenyataan hari ini memaklumkan semua proses perolehan perkhidmatan dan pembekalan dilaksanakan melalui Sistem ePerolehan bagi memastikan ketelusan dalam pelaksanaan tender kerajaan.

“Tender berkenaan juga tertakluk kepada peraturan kewangan yang ditetapkan dan syarikat yang dibawa ke Lembaga Perolehan Kementerian Dalam Negeri untuk pertimbangan telah melepasi penilaian peringkat Jawatankuasa Pembuka Tender, Jawatankuasa Penilaian Teknikal dan Jawatankuasa Penilaian Kewangan,” menurut kenyataan itu.

Menurut Jabatan Penjara, lembaga perolehan untuk tender itu juga telah bersidang pada 10 Julai lepas untuk memuktamadkan syarikat pembekal yang berjaya.

“Oleh itu, tidak berlaku sebarang kelewatan dalam urusan tender ini,” katanya.

— BERNAMA