Bekas Gabenor Bank Negara ,Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz hadir ke mahkamah sebgai saksi perbicaraan kes pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 14 OGOS 2023.

KUALA LUMPUR – Prosiding profil tinggi kes penyelewengan dana 1Malaysia Developement Berhad (1MDB) bernilai RM2.3 bilion membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersambung hari ini.

Saksi ke-46, bekas Gabenor Bank Negara (BNM), Tan Sri Zeti Akhtar Aziz menyambung memberi keterangan.

Hari ini, peguambela yang mengetuai pasukan pembelaan Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berterusan mengasak Zeti dan mendedahkan hubungan ‘rapat’ antara ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho Low atau Jho Low dengan suaminya, Datuk Dr Tawfiq Ayman.

Bagaimanapun, Zeti menafikan setiap dakwaan dan cadangan dikemukan oleh Muhammad Shafee ketika soal balas di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Shafee: Adakah anda mengenali Jho Low?

Zeti: Saya tahu tentang dia tapi saya tidak ada apa-apa kaitan dengannya langsung.

Shafee: Hmm, adakah anda ingat ada satu masa apabila anda bertemu dengan Datuk Seri Najib adanya satu perbincangan tentang Jho Low dan anda kata Jho Low mempunyai tabiat memberikan kamu hadiah-hadiah mahal?

Zeti: Saya tidak pernah langsung terima hadiah mahal termasuklah Jho Low ini.

Shafee: Adakah kamu pernah beritahu tentang perkara ini kepada Perdana Menteri?

Zeti: Tidak pernah.

Shafee: Adakah anda tidak ingat langsung berbincang atau bercakap tentang Jho Low kepada Perdana Menteri (Najib)?

Zeti: Saya langsung tidak ingat adanya sebarang percakapan, perbincangan tentang Jho Low.

Shafee: Kamu ingat alamat tempat tinggal kamu? Boleh sebutkan alamat penuh?

Zeti: Bukit Tunku.

Shafee: Adakah rumah kamu berdekatan dengan rumah Perdana Menteri, Langgak Duta?

Zeti: Benar.

Shafee: Adakah benar Jho Low menjadi rapat dan akrab dengan suami kamu dengan datang ke rumah kamu secara kerap? Beliau akan memasak pasta di rumah kamu?

Zeti: Itu mengarut dan satu penipuan. Tidak benar langsung. Jho Low tidak masak di rumah saya.

Shafee: Ada kalanya Jho Low ada perbincangan di rumah Perdana Menteri dengan yang lain-lain?

Zeti: Oh, saya tidak tahu.

Shafee: Setiap kali adanya mesyuarat, Jho Low akan memberi alasan untuk keluar awal kerana mahu ke rumah kamu? Bukankah Perdana Menteri (Najib) sendiri beritahu kamu tentang itu?

Zeti: Saya tidak tahu.

Shafee: Saya cadangkan kepada kamu Jho Low memang sangat rapat dengan suami kamu kerana mereka berdua adalah rakan perniagaan.

Zeti: Tidak benar sama sekali.

Shafee: Benarkah kamu belajar bersama-sama dengan suami kamu di Amerika Syarikat (AS)?

Zeti: Ya betul. Universiti yang sama sekitar 70-an. Universiti Pennsylvania.

Shafee: Adakah anda tahu Jho Low juga datang dari alumni sama? Universiti Wharton dan itu juga antara alasan Jho Low untuk rapat dengan suami kamu?

Zeti: Tidak tahu dan tidak benar.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diiringi pegawai penjara ketika hadir ke mahkamah bagi sambung perbicaraan kes pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 15 OGOS 2023.

Prosiding akan bersambung semla selepas waktu makan tengah hari pukul 2.30 petang ini.

Najib ketika ini berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion milik 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast