SERDANG – Kementerian Pertanian dan Kerterjaminan Makanan (KPKM) memfokuskan empat dimensi keterjaminan makanan merujuk kepada Food and Agriculture Organization (FAO).
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, perkara itu membabitkan ketersediaan, akses, penggunaan serta kestabilan dan kemampanan yang selari dengan Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara 2021-2025 dan Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0).
“Perkara itu memberikan cabaran kepada kementerian untuk memastikan keterjaminan makanan negara mampu bertahan dalam jangka masa yang panjang dan sistem makanan negara perlu diperkukuhkan supaya lebih mampan bagi persediaan menangani ancaman krisis makanan global ketika ini.
“Saya telah menggariskan lima hala tuju dan fokus utama kementerian mulai tahun 2023 supaya negara mempunyai sumber makanan yang lestari,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penutupan Persidangan Keterjaminan Makanan Kebangsaan 2023 di Dewan Besar Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia (UPM), di sini, hari ini.
Jelas beliau, hala tuju pertama adalah memperkuatkan sektor akuakultur dengan sasaran meningkatkan hasil ikan daripada aktiviti akuakultur sehingga mencapai 60 peratus Tahap Sara Diri (SSL).
“Keduanya adalah memperluas penternakan lembu dengan kaedah fidlot bagi memenuhi keperluan bekalan daging tempatan dan eksport, dan meningkatkan sasaran pengeluaran daging tempatan kepada 50 peratus SSL menjelang 2025.
“Ketiga, memulakan usaha penanaman jagung bijian untuk mengurangkan pergantungan import sebanyak 30 peratus dalam tempoh 10 tahun ini,” katanya.
Menurut beliau, hala tuju keempat adalah meningkatkan penglibatan golongan belia dalam sektor agromakanan dan pertanian pintar.
“Hala tuju kelima adalah memperkukuhkan institut latihan pertanian untuk melahirkan belia berkemahiran dalam bidang teknologi pertanian, penyelidikan dan pembangunan (R&D).
“Selain itu meneroka pertanian moden dan pintar bagi memastikan kelestarian keselamatan makanan terjamin,” katanya. – MalaysiaGazette