Mejar Cina Datuk David Wong (tengah) meyampaikan sumbangan kepada Pengerusi MGB dan PK SJKC Muar, Chua Choon Kiat di SJKC Muar hari ini.

JOHOR BAHRU – Yayasan Sultanah Fatimah (YSF) menyampaikan sumbangan sebanyak RM10,000 kepada Majlis Guru Besar (MGB) dan Penolong Kanan (PK) Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Muar.

Ia sebagai peruntukan bagi Program Pertandingan Tarian Tradisional Peringkat Daerah sempena sambutan Hari Kebudayaan-Kemenjadian Murid 2023.

Cek sumbangan disampaikan Pengerusi YSF,  Mejar Cina Datuk David Wong kepada Pengerusi MGB dan PK SJKC Muar, Chua Choon Kiat di SJKC Muar hari ini.

David Wong turut menyampaikan barangan keperluan persekolahan termasuk beg sekolah, air botol, bekas makanan, kotak pencil dan sebagainya kepada 37 SJKC di sekitar daerah Muar.

Chua dalam ucapannya menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Sultan Johor di atas sumbangan melalui YSF.

“Peruntukan yang diterima akan digunakan untuk mengadakan program kursus profesionalisme kepada para pentadbir barisan hadapan sekolah demi kecemerlangan pendidikan negeri dan daerah,” katanya. – MalaysiaGazette