Suasana pilu apabila ahli keluarga mangsa nahas pesawat terhempas di Perumahan Elmina 8 hadir bagi menunggu proses bedah siasat dan pengecaman selesai, sebelum meneruskan urusan pengebumian jenazah ketika di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang. Foto MOHD ADZLAN, 18 OGOS 2023.

KLANG – Sebahagian ahli keluarga mangsa nahas pesawat terhempas di Perumahan Elmina 8 Central Park Seksyen U16, Shah Alam, semalam, masih lagi berada di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), di sini, pagi ini.

Suasana pilu masih dirasai mereka, yang menunggu proses bedah siasat dan pengecaman selesai, sebelum meneruskan urusan pengebumian jenazah.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.40 petang semalam, pesawat yang membawa enam penumpang dan dua krew dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, Kedah terhempas kira-kira lima kilometer dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTAAS).

Kemalangan itu turut meragut dua orang awam iaitu seorang penunggang motosikal dan pemandu e-hailing yang berada berhampiran pesawat Beechcraft 390 Premier 1 terhempas.

Semua mayat bersama cebisan anggota badan mangsa dibawa ke Unit Forensik HTAR dari jam 11 malam hingga awal pagi ini untuk post-mortem dan pengecaman.

Setakat ini, hanya satu mayat mangsa yang sempurna dikeluarkan dari lokasi nahas yang keseluruhannya mengorbankan 10 nyawa.

Turut terkorban, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai yang juga Exco Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Johari Harun.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata, mayat sempurna itu adalah mangsa penunggang motosial yang rentung.

Polis IPD Klang Selatan kini sedang menguruskan proses mengumpul asid deoksiribonukleik (DNA) waris mangsa untuk membuat proses pemadanan bagi pengecaman mayat.

Pasukan polis dan Biro Penyiasatan Kemalangan Udara berjaya menemui kota hitam mengandungi Data Perakam suara Kokpit dari lokasi pesawat antara jam 10 hingga 11 malam tadi.

Tragedi itu turut mendapat perhatian Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang berangkat melawat ke lokasi kejadian nahas berhampiran Lebuhraya Guthrie kira-kira jam 5 petang.

Baginda diberi taklimat oleh pihak berkuasa mengenai nahas berkenaan termasuk Ketua Polis Selangor Komisioner Datuk Hussein Omar Khan dan juga Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Abdul Wahab Mat Yasin.

Al-Sultan Abdullah meluangkan masa sekitar 30 minit meninjau lokasi kejadian sebelum berangkat pulang sekitar jam 6 petang.

Selain baginda, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menteri dan seluruh kepimpinan kerajaan pusat dan negeri mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa serta berharap mereka tabah menghadapi dugaan itu. – MalaysiaGazette