KUALA LUMPUR – Ketidakadilan Kerajaan Persekutuan dalam menyalurkan peruntukan kepada semua Ahli Parlimen termasuk pembangkang dikatakan menjadi faktor yang menyebabkan pengundi Melayu di Kedah, Kelantan dan Terengganu menolak Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, beliau sendiri telah berkali-kali menyuarakan perkara tersebut di Dewan Rakyat.
Beliau mendakwa, kerajaan PH yang diketuai bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) tidak mengendahkan seruan itu dan ia hanya dapat bertahan selama 22 bulan sahaja.
“Tuntutan saya kepada Kerajaan Perpaduan pimpinan Per\=-]dana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya berlaku adil kepada semua Ahli Parlimen termasuk 74 orang Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) yang kini di blok pembangkang telah saya suarakan sejak Parlimen Penggal Ke-15 bermula selepas PRU15.
“Tetapi sehingga kini kerajaan pusat pimpinan Anwar tetap enggan memberi peruntukan dana sama adil kepada Ahli-ahli Parlimen pembangkang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Hassan yang juga pemimpin PKR menambah, rakyat di negeri-negeri yang dikuasai oleh parti-parti pembangkang iaitu Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) melihat semua perkara itu.
Menurut beliau, dana itu adalah untuk mereka sebagai rakyat namun hak mereka dinafikan oleh kerajaan Persekutuan.
“Jadi jangan salahkan mereka jika mereka menganggap kerajaan pusat tidak adil kepada mereka.
“Maka apabila sampai waktu pilihan raya negeri (PRN) baru-baru ini, maka rakyat Melayu Islam di negeri-negeri jajaran timur dan utara itu menghukum parti-parti politik PH-BN yang menguasai kerajaan pusat di Putrajaya,” jelasnya.
Hassan memberitahu, faktor lain adalah ‘dosa’ kerajaan Persekutuan terdahulu pimpinan BN dan UMNO selama lebih 60 tahun yang menganaktirikan negeri-negeri Melayu Islam di jajaran timur khususnya Kelantan dan Terengganu.
Beliau memberi contoh mengenai rakyat Kelantan yang dinafikan hak mereka untuk mendapatkan royalti minyak yang dikeluarkan dari perut bumi dan laut negeri itu.
“Sentimen anti kerajaan pusat yang menzalimi Kelantan sejak berpuluh tahun ini telah menebalkan keyakinan mereka bahawa kerajaan pusat tidak adil kepada rakyat Kelantan,” katanya.
Hassan berkata, satu lagi faktor adalah perasaan tidak puas hati orang Melayu ekoran hak mereka di bawah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan telah dirampas oleh golongan kroni dan elit Melayu semasa UMNO memerintah negara.
Menurut beliau, akibatnya, UMNO kini pupus di Terengganu, Kelantan, Perlis dan Kedah.
“PKR, Parti Amanah Negara (Amanah) dalam PH yang bersekutu dengan UMNO mengalami nasib yang sama juga seperti calon-calon UMNO di negeri-negeri Melayu Islam yang miskin dan mundur itu,” jelasnya. – MalaysiaGazette
Pesara marah kerana hak bayaran pencen bulanan mereka diganggu menyebabkan mereka beralih mengundi PN. Sekiranya bayaran pencen bulanan dikembalikan kepada bayaran asal sebelum ini maka sokongan akan kembali pada PHBN. Kembalikan kepada bayaran
era DSNR.