Ahmad Maslan melakukan tinjauan bersama penerima STR dan SARa di sebuah pasar raya di Taman Megah, Pontian hari ini.

PONTIAN – Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Seri Ahmad Maslan hari ini menyatakan Kedah merekodkan jumlah tertinggi penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dalam kategori miskin tegar.

Angka itu dipeeroleh menerusi data e-Kasih yang menerima Sumbangan Asas Rahmah (SARa) bagi mendapatkan barangan keperluan makanan asas.

Selepas Kedah, penerima tertinggi diikuti di negeri Kelantan dan Perak.

Bagi negeri di Semenanjung, Kedah merupakan penerima tertinggi dengan 21,000 penerima diikuti Kelantan (20,000) dan Perak (16,000) manakala di Johor seramai 8,000 penerima, katanya.

“Seramai 220,000 penerima STR dalam kategori miskin tegar berdasarkan data e-Kasih menerima SARa di seluruh negara,” katanya pada sidang akhbar selepas melakukan tinjauan bersama penerima STR dan SARa di sebuah pasar raya di Taman Megah di sini hari ini.

Ahli Parlimen Pontian itu juga menambah, bagi semua penerima di Semenanjung, bantuan barangan keperluan asas tanpa tunai berjumlah RM100 setiap bulan bagi tempoh enam bulan mulai Julai akan disalurkan secara automatik melalui akaun yang dibuka menggunakan MyKad penerima.

Penerima boleh membuat pembelian di 600 pasar raya atau kedai runcit terpilih di seluruh negara.

Pelaksanaan SARa sudah dibuat mulai 17 Julai lalu melibatkan Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu.

“Di negeri-negeri lain seperti Perlis, Perak, Pahang, Melaka dan Johor pula, pelaksanaan telah dilakukan pada 31 Julai lala manakala Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan pada 7 Ogos,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast