KUALA LUMPUR – Pelabur asing mengekalkan belian bersih mereka di Bursa Malaysia untuk minggu keenam berturut-turut pada minggu lepas, dengan aliran masuk berjumlah RM52.7 juta, mencerminkan kadar yang lebih sederhana.
MIDF Research berkata, belian bersih berlaku dari Isnin hingga Rabu, dengan hari Rabu mengalami aliran masuk asing bersih tertinggi sebanyak RM106.4 juta
Bagaimanapun, pelabur asing beralih kepada penjual bersih menjelang akhir minggu didorong oleh pelepasan dua mata data ekonomi yang lemah.
Pada bulan Julai, jumlah eksport jatuh sebanyak -13.1% tahun ke tahun kepada RM116.75 bilion, manakala jumlah import menyusut sebanyak -15.9% tahun ke tahun kepada RM99.66 bilion.
Sementara itu, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia berkembang pada kadar yang lebih perlahan daripada jangkaan iaitu +2.9%yoy pada suku kedua 2023.
Setakat ini, pelabur asing telah menjadi penjual bersih ekuiti domestik sebanyak RM2.41 bilion, menurut firma penyelidikan ini.
Tambahnya, tiga sektor teratas yang mencatat aliran masuk asing bersih ialah hartanah (RM165.3 juta), teknologi (RM27.4 juta) dan perladangan (RM23.9 juta).
Manakala tiga sektor teratas dengan aliran keluar asing bersih ialah produk perindustrian dan perkhidmatan (-RM106.5 juta), penjagaan kesihatan (-RM49.6 juta) dan REIT (-RM27.1 juta).
Sebaliknya, pelabur institusi menjadi pembeli bersih pada RM76.1 juta selepas jualan bersih sejak lima minggu lalu.
Setakat ini, pelabur institusi telah menjadi pembeli bersih pada RM2.76 bilion.
Melangkah ke minggu keenam berturut-turut, pelabur runcit tempatan telah menjual sebanyak RM128.8 juta ekuiti domestik pada minggu lalu.
Setakat ini, peruncit tempatan telah menjadi penjual bersih sebanyak RM348.9 juta.
Dari segi penyertaan, terdapat peningkatan dalam purata volum dagangan harian (ADTV) secara keseluruhan pelabur runcit (+24.9%), institusi tempatan (+28.2%) dan pelabur asing (+11.9%). – MalaysiaGazette