ALOR GAJAH – Parti Amanah Negara (Amanah) yakin mampu mempertahankan kerusi Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram pada pilihan raya kecil (PRK) bulan depan.
Naib Presidennya, Adly Zahari berkata, ia selepas Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub berjaya memberikan perkhidmatan terbaik selain DUN Simpang Jeram itu sendiri merupakan tapak penubuhan Amanah yang mempunyai kekuatan akar umbi.
“Allahyarham (Salahuddin) telah memberikan khidmat yang terbaik dan kalau kita tengok ketika Amanah tidak dapat mempertahankan mana-mana kerusi, kita dapat mandat rakyat di Simpang Jeram.
“Ramai orang tak ingat penubuhan Amanah itu tapaknya adalah di DUN Simpang Jeram yang mempunyai kekuatan akar umbi di situ sebab itu saya yakin kemenangan pada 9 September ini dapat diterjemahkan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan perasmian Program Membudayakan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) Pertahanan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Durian Tunggal di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Adly berkata, kerjasama baik antara Kerajaan Perpaduan dan negeri juga akan memberikan kemenangan yang lebih besar.
“Semangat perpaduan, kestabilan dalam Kerajaan Perpaduan itu menjadi teras utama kita khususnya di Johor, Melaka dan Negeri Sembilan,” katanya.
Bekas Speaker DUN Johor pada 2018, Suhaizan Kaiat diumumkan sebagai calon untuk kerusi Parlimen Pulai manakala Timbalan Ketua Amanah Kawasan Bakri Ir. Nazri Abdul Rahman bagi calon DUN Simpang Jeram pada PRK, 9 September ini.
PRK dua kerusi itu diadakan kerana berlaku kekosongan luar jangka berikutan kematian penyandangnya, Salahuddin, 61, pada 23 Julai lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari penamaan calon PRK bagi kerusi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram pada 26 Ogos dan hari pengundian pada 9 September. – MalaysiaGazette