Md. Alwi Che Ahmad

KUALA LUMPUR – Apabila UMNO kalah dan ditolak oleh rakyat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini, kenapa mesti ada pihak menuding jari menyalahkan satu sama lain.

Sepatutnya semua pimpinan dalam parti mengakui kekurangan diri dan mencari jalan kenapa jenama UMNO tidak lagi menjadi pilihan rakyat.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Md. Alwi Che Ahmad berkata, selepas menerima berita kekalahan itu, semua pihak patut duduk semeja mencari jalan dan kaedah untuk membaikinya.

“Ini tidak, bila kalah sahaja terus salah menyalah sesama kita. Sewajarnya kita kena akuilah kekurangan diri masing-masing dan tanya pada diri kita, kenapa jenama UMNO tidak jadi pilihan.

“Atau, kita sama sama baiki, buat post-mortem cari punca kekalahan dan kelemahan. Kita kalah dalam pertempuran, bukan dalam peperangan,” katanya yang dipetik menerusi hantaran Facebooknya, hari ini.

Md. Alwi yang juga Ketua UMNO Bahagian Ketereh berkata, kalah menang adalah adab dalam pertandingan, begitu juga Amerika kalah dengan Jepun dalam pertempuran Pasifik.

Tetapi, katanya, Komander Tertinggi Amerika, Jeneral Mc Arthur sebelum berundur dengan tegas menyatakan beliau akan kembali.

“Dan, akhirnya beliau kembali. Ini berbeza dengan parti kita. Kalah saja terus salahkan sesama sendiri,” katanya.

Dalam PRN ke-15 di enam negeri pada 12 Ogos lalu, UMNO dan Barisan Nasional (BN) hanya menang 19 daripada 108 kerusi yang dipertandingkan di Kelantan, Terengganu, Kedah, Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang.

Berikutan itu, beberapa pemimpin dalam UMNO bangkit mendesak Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meletakkan jawatan sebagai Presiden dengan alasan punca kepada kekalahan itu. – MalaysiaGazette