Datuk Marzuki Mohamad

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu memberi tumpuan penuh kepada usaha untuk memulih dan merancakkan ekonomi negara selepas pertumbuhan ekonomi Malaysia mencecah paras paling rendah dalam hampir dua tahun pada suku kedua 2023.

Bekas Ketua Setiausaha Sulit Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Marzuki Mohamad berkata, pertumbuhan ekonomi yang menyusut kepada 2.9 peratus adalah petanda ekonomi negara masih belum pulih sepenuhnya.

Oleh yang demikian, Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) sebagai platform penting dalam negara perlu lebih rancak mengadakan pertemuan secara kerap setiap minggu dalam membuat keputusan-keputusan utama mengenai ekonomi negara.

“Semasa pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN), MTEN yang dipengerusikan Perdana Menteri dan keanggotaannya termasuklah menteri-menteri berkaitan ekonomi, Gabenor Bank Negara dan wakil-wakil industri bermesyuarat setiap minggu.

“Di sinilah indikator-indikator utama ekonomi dipantau dan keputusan-keputusan penting mengenai hala tuju ekonomi negara dibuat dan diambil tindakan segera oleh kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelas Marzuki lagi, menerusi fungsi utama MTEN itu, apa sahaja permasalahan yang membantut pertumbuhan ekonomi dapat diatasi dengan segera.

Malah dengan sokongan pihak industri yang bertindak sebagai pemudah cara pemulihan ekonomi, ia akan dapat direalisasikan bersama.

“Bagi saya apa yang berlaku sekarang ini menunjukkan ekonomi negara gagal diurus dengan cekap oleh kepimpinan kerajaan hari ini.

“Kerajaan perlu menyediakan satu peta arah tuju yang jelas bagaimana negara kita dapat keluar daripada kelembapan ekonomi dan masalah kos sara hidup yang sedang dihadapi oleh rakyat,” katanya.

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada suku tahun kedua 2023 menyederhana kepada 2.9 peratus selepas mencatatkan pertumbuhan 5.6 peratus pada suku tahun sebelumnya didorong terutamanya oleh sektor perkhidmatan dan pembinaan, selain permintaan luaran yang lebih perlahan.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Shaik Abdul Rasheed Ghaffour berkata, permintaan dalam negeri kekal sebagai pendorong utama pertumbuhan, disokong oleh penggunaan swasta dan pelaburan.

Untuk rekod, secara keseluruhan, pertumbuhan ekonomi Malaysia pada separuh pertama 2023 adalah sebanyak 4.2 peratus berbanding 6.8 peratus dalam tempoh sama tahun lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Laaa zaman Muhyidin laaa rakyat kibar bendera putih..zaman PN laaa dana yg dikumpul oleh DS Najib dibelanjakan sesuka hati oleh Muhyidin termasuk dlm kes Jana Wibawa. Rakyat tau laa ko tu hidup bergantung kpd Muhyidin…tp kalau nak menjilat pun agak2 laa .jgn nampak bodoh

Comments are closed.