KUANTAN – ”Insya-Allah, Perikatan Nasional (PN) Pahang buru kerusi ke 18″.
Demikian kenyataan Pesuruhjaya Pas Pahang, Rosli Abdul Jaabar di sini hari ini.
Menurutnya, pihaknya sudah memulakan persiapan awal bagi proses Pilhan Raya Kecil (PRN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai yang akan diwartakan oleh pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak lama lagi.
Ia berikutan pihak SPR Pahang telah menerima Notis Pengisytiharan Kekosongan bagi kerusi DUN itu semalam yang diserahkan oleh Speaker DUN Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin semalam.
Menurut Rosli, pihaknya mula bermesyuarat bagi menyenaraikan nama calon-calon yang berkelayakan untuk diserahkan kepada Pas Pusat.
”Nama calon masih peringkat rahsia, hari ini kita mesyuarat untuk putuskan siapa calon bagi peringkat negeri sekiranya Pas Pusat ada calon dia maka terserah pada Pas Pusat.
”Pada peringkat negeri dua tiga tokon yang layak untuk diketengahkan sebagai calon, orang muda Insya-Allah.
”Calon akan diputuskan dan akan dihantar kepada majlis syura, kemudian Majlis Syura akan putuskan layak tak layak, kemudian kita pilih siapa yang layak,” ujarnya.
Jelas Rosli, Pas Pahang akan menurut keputusan yang diputuskan oleh pucuk pimpinan dan akur sekiranya mereka memilih calon yang lebih berkelayakan untuk dicadangkan mewakili parti pada pilihan raya nanti.
”Bagi Pas, kami sudah menyenaraikan calon yang layak untuk bertanding yang mampu untuk memberikan saingan untuk memenangi kerusi ke-18 bagi PN Pahang setelah dimaklumkan notis kekosongan pada semalam.
”Kita telah memulakan persiapan dari sudut jentera-jentera parti bagi semangat mengharungi PRK pada kali ini,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.
Semalam SPR Pahang menyatakan mesyuarat PRK DUN Pelangai akan dilaksanakan dan diputuskan pada minggu ini susulan notis kekosongan berkuat kuasa pada tarikh kematian Datuk Seri Johari Harun pada 17 Ogos lalu.
Untuk rekod, sehingga Mei lalu, seramai 16,475 pemilih berdaftar bagi di dun itu.
ADUN Pelangai, Johari dilaporkan terbabit nahas pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) dengan lima lagi penumpang dan juruterbang serta pembantunya pada Khamis lalu.
Lain-lain penumpang yang dipercayai terkorban ialah Kharil Azwan Jamaluddin, Shahrul Kamal Roslan, juruterbang pesawat terbabit milik Jet Valet Sdn Bhd dan pembantunya, Heikal Aras Abdul Azim manakala penumpang, Shaharul Amir Omar, Mohamad Naim Fawwaz Mohamed, Muhammad Taufiq Mohd Zaki dan Idris Abdol Talib @ Ramali dan dua lagi orang awam turut menjadi mangsa nahas.
Johari dipilih sebagai ADUN Pelangai selepas memenangi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 tahun lalu dan dilantik menjadi Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar Dan Teknologi Hijau Pahang.
Allahyarham menang pertandingan empat penjuru memperoleh 7,308 undi, menewaskan calon dari Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan dan Pejuang. – MalaysiaGazette