Ubi Telampong siap dimasak

ALOR SETAR – Kenikmatan ubi yang bersalut gula tebu pekat yang dimasak menggunakan dapur kayu getah meninggalkan aroma harum semerbak dan rasanya sangat sedap sehingga Ubi Telampong asli sering menjadi rebutan penggemarnya.

Ubi Telampong amat popular sebagai manisan di sekitar Binjai, Kedah namun yang menghairankan ramai yang tidak mengenali makanan warisan ini.

Pembuat Ubi Telampong, Mohd. Fauzi Mohd. Akhir berkata, nama Ubi Telampong berkemungkinan berasal daripada ubi kayu yang dimasak dalam rebusan air tebu yang banyak menampakkannya seolah-olah berada dalam keadaan seperti pelampung.

“Musim kemarau atau cuaca panas terik amat sesuai untuk buat Ubi Telampong kerana tebu yang menjadi salah satu asas utama tidak akan manis jika bukan musim kemarau sebab itulah kami hanya buat ketika musim ini.

“Ubi Telampong merupakan makanan susah jumpa memandangkan proses membuatnya agak rumit dan mengambil masa yang sangat lama. Untuk membuat Ubi Telampong kita perlu membersihkan ubi kayu dan tebu, tebu dikisar pada hari yang sama supaya air tebu masih segar dan tidak masam sebelum membuat kelongsong jut untuk mengisi ubi kayu,” katanya.

Memasak ubi kayu yang dalam kelonsong jut di atas kayu api

Manakala Mansor Saleh generasi kedua pembuat Ubi Telampong amat cekap membuat kelongsong jut dari daun bemban yang mudah dicari di sekitar kampung.

“Setelah selesai menyiapkan setiap kelongsong jut (raga), ia perlu direndam dalam air untuk mengelak kelongsong menjadi kering dan bergulung. Ubi kayu yang siap dikopek kulit perlu segera diisi dalam kelongsong jut dan direndam dalam air untuk mengelakkan ubi kayu masuk angin yang akan menjejaskan rasa.

“Proses memasak Ubi Telampong memerlukan memerlukan ketelitian, kesabaran yang tinggi apatah lagi berdepan dengan dapur kayu api yang memedihkan mata selain mengambil masa melebihi lapan jam sehinggalah air tebu menjadi seperti nesan tebu yang pekat,” kongsinya.

Jelasnya, Ubi Telampong yang dimasak menggunakan kayu getah sebagai bahan api meninggalkan aroma harum dan rasanya enak ditambah dengan kenikmatan ubi yang bersalut gula tebu pekat menyebabkan Ubi Telampong digemari ramai.

“Setelah siap memasak mereka akan membahagi-bahagikan ubi telampong ini di kalangan penduduk yang turut sama bergotong-royong membuat Ubi Telampong manakala lebihan akan dijual sebanyak RM30 sekilogram,” ujarnya.

Mansor mengupas ubi kayu.

 

Penyelidik UUM, Dr. Jazliza Jamaluddin berpeluang melihat sendiri proses pembuatan Ubi Telampong berasa kagum dengan semangat gotong-royong yang dipamerkan oleh penduduk Kampung Bukit Beruas.

Bermula dari langkah mencari dan mendapatkan bahan-bahan utama membuat Ubi Telampong iaitu ubi kayu, tebu, daun bemban untuk membuat ‘jut’ iaitu kelongsong bagi mengisi ubi kayu hingga kayu api untuk memasak adalah berdasarkan semangat kerjasama yang kuat antara mereka.

“Kebanyakan aktiviti memasak sajian ini dilakukan oleh lelaki kerana melibatkan kerja yang renyah dan berat seperti menjaga api kawah dan mengisar tebu yang memang memerlukan tenaga lelaki.

“Inilah nilai tradisi budaya orang kampung yang menjadi pengikat silaturahim antara mereka bersatu hati membuat makanan warisan.

“Cara masakan menggunakan kayu api dan tidak menggunakan dapur gas menyebabkan rasa Ubi Telampong ini unik dan lain dari yang lain ditambah dengan salutan nesan tebu yang pekat. Pertama kali menikmati Ubi Telampong dengan rasa lemak manis rasa macam makan susah berhenti,” kongsinya.

Penulis (tengah) bersama penduduk Kampung Bukit Beruas, Mukim Binjai daerah Kubang Pasu Kedah.

Meskipun, Ubi Telampong sukar dibuat namun ia tidak mematahkan semangat orang Kampung Bukit Beruas ini untuk meneruskan pembuatan makanan tradisi warisan ini di mana bahan-bahan mudah didapati di sekitar kampung. Walaubagaimanapun penyediaannya yang rumit menyebabkan sajian ini kian hilang ditelan zaman.

Seharusnya, makanan warisan di musim kemarau ini perlu dipelihara supaya tidak dilupakan dan menjadi lambang estetika budaya masyarakat yang mudah mesra.

Jazliza merupakan Pensyarah Kanan, Unit Sejarah dan Kenegaraan, Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah bersama Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan (SCIMPA), Mohd. Fitri Yusoff menjalankan kajian tentang makanan warisan Melayu Kedah untuk tujuan konservasi supaya sajian tradisi ini tidak pupus oleh arus pemodenan makanan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast