Bangunan Kementerian Kesihatan Malaysia.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mengenakan pemeriksaan Tahap 4 (Pengawasan) di pintu masuk negara terhadap produk makanan berisiko tinggi yang diimport dari negara Jepun untuk analisis kandungan bahan radioaktif.

Ia susulan langkah pelepasan sisa air radioaktif terawat Fukushima bermula 24 Ogos 2023 sebagaimana yang diumumkan oleh Pihak Berkuasa Jepun.

Jepun mengesahkan bahawa pelepasan sisa air radioaktif terawat tersebut adalah mengikut standard keselamatan Jepun yang akan dilaksanakan secara berperingkat dan telah mendapat kelulusan daripada Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) pada 4 Julai 2023.

Meskipun begitu, isu ini telah mendapat pelbagai reaksi daripada beberapa negara di Lautan Pasifik.

Ketua Pengarah KKM, Datuk Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, di Malaysia, cemaran radionuklid adalah dikawal di bawah Peraturan 37, Peraturan-Peraturan Makanan 1985. Manakala standard antarabangsa Codex telah mengeluarkan General Standard for Contaminants and Toxins in Food and Feed, CXS 193-1995 sebagai panduan untuk kawalan cemaran radionuklid dalam makanan.

Menurutnya, KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan telah menjalankan pemantauan ke atas produk makanan yang diimport dari Jepun bermula Mei 2011 sehingga April 2012 selepas letupan loji nuklear akibat gempa bumi yang berlaku di
Fukushima, pada tahun 2011.

“Satu program pemantauan khusus turut dijalankan pada 2019 di mana sebanyak 102 sampel telah dianalisis dan kesemua sampel didapati tidak melebihi kadar yang telah ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Tambah beliau, KKM sentiasa menjalankan pemantauan di pintu masuk negara dan pasaran tempatan bagi memastikan keselamatan makanan adalah terjamin.

Berdasarkan data KKM, dalam tempoh 2022 sehingga Jun 2023, produk makanan ikan dan hasilan ikan adalah di antara produk yang tertinggi diimport dari Jepun disusuli dengan produk buah-buahan, sayur-sayuran dan selebihnya adalah makanan dan minuman terproses dengan nilai keseluruhan iaitu RM 880,115,437.00. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast