Antara dokumen perjalanan pelbagai negara di Asean yang dirampas daripada sindiket pemerdagangan manusia didalangi warga tempatan yang ditumbangkan IMigresen di Sarawak baru baru ini. Ihsan JIM Putrajaya

PUTRAJAYA – Taktik satu sindiket penyeludupan dan pemerdagangan manusia yang memperdaya warga asing dengan menjanjikan pekerjaan di atas kapal mewah terbongkar dalam serbuan Op Dudley di sekitar Sarawak pada 19 hingga 22 Ogos lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Datuk Ruslin Jusoh berkata, sindiket itu tumpas hasil operasi khas yang dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Ibu Pejabat JIM Putrajaya serta JIM Sarawak.

“Dalam operasi itu, lima ahli sindiket terdiri daripada ketua sindiket iaitu seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun dikenali sebagai ‘Dudley’ serta empat lelaki warga India berusia antara 25 hingga 40 tahun ditahan.

“Operasi juga berjaya menyelamatkan 12 lelaki warga India yang menjadi mangsa kepada sindiket terbabit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ruslin berkata, sindiket itu dipercayai aktif sejak Mei 2022 setelah pintu masuk sempadan negara dibuka semula.

“Modus operandi sindiket adalah menjanjikan pekerjaan di atas kapal kepada mangsa yang akan dibawa ke Malaysia melalui KLIA bagi membolehkan mangsa mendapat penerbangan ke Miri dan Sibu.

“Berdasarkan maklumat diterima, mangsa perlu membayar antara RM20,000 hingga RM25,000 seorang kepada sindiket untuk menguruskan kemasukannya ke Malaysia,” tambah beliau.

Pasukan operasi turut merampas wang tunai sebanyak RM600, 75 pasport India, tujuh pasport Indonesia, tiga pasport Myanmar, empat buah komputer riba, sebuah kenderaan Toyota Land Cruiser, sebuah Honda City dan sebuah Suzuki Vitara.

 

Sindiket Dudley aktif pemerdagangan manusia di sarawak ditumpaskan JIM baru baru ini.

Beliau berkata, dalang utama sindiket itu telah direman selama tujuh hari, manakala empat lelaki warga India ditahan di Depot Imigresen Semuja.

Kesemua mereka ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

Dalam pada itu,  semua mangsa yang diselamatkan ditempatkan di rumah perlindungan mangsa ATIPSOM,” katanya.

Menurutnya, JIM akan meneruskan tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang menjalankan kegiatan menyalahi undang-undang.

“Orang ramai juga digesa supaya terus menyalurkan sebarang maklumat yang dapat membantu jabatan ini dalam menjalankan tindakan penguatkuasaan,” katanya. – MalaysiaGazette

 

Sindiket penyeludupan manusia bernama Dudley aktif di Sarawak tumpas di tangan JIM