Temubual bersama Pelajar Sarjana Pengajian Melayu di Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya, dari kanan, Jamilah (nama panggilan) Yifan Gao, Cahaya (nama panggilan) Mai Jiayu, Mahirah (nama panggilan) Fuyi Zhou mengenai pelajar-pelajar dari China melanjutkan Sarjana Pengajian Melayu di Universti Malaya, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 25 OGOS 2023.

KUALA LUMPUR – Jamilah atau Yifan Gao adalah orang yang sama. Namun nama Melayu itu diberikan kepadanya sejak lebuh setahun lalu.

Sebelum ini, wanita itu merupakan lulusan Sarjana Muda Bahasa Melayu di Universiti Pengajian Bahasa-bahasa Asing Tianjin di China iaitu negara kelahirannya.

Gao memberitahu, dia memilih bahasa Melayu ketika menyambung pelajaran di peringkat sarjana muda kerana menyedari hubungan baik antara Malaysia dan China walaupun tidak pernah mengenali bahasa itu.

Walaupun mempunyai pilihan untuk memilih bahasa Inggeris yang merupakan bahasa dunia, wanita berusia 23 tahun itu mengakui membuat keputusan tepat apabila memilih belajar bahasa Melayu yang penuh dengan keunikan tersendiri.

“Saya mula jatuh cinta lebih mendalam apabila pensyarah di universiti di China memperkenalkan sejarah dan kebudayaan Malaysia yang sebelum ini saya tidak tahu.

“Justeru, saya yakin pontesi bahasa Melayu akan berkembang lebih cerah di China kerana ia boleh digunakan sebagai bahasa pengantar antara kedua-dua negara dalam urusan perniagaan,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di Universiti Malaya (UM), di sini, hari ini.

Temubual bersama Pelajar Sarjana Pengajian Melayu di Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya, Jamilah (nama panggilan) Yifan Gao mengenai pelajar-pelajar dari China melanjutkan Sarjana Pengajian Melayu di Universti Malaya, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 25 OGOS 2023.

Ketika ini, Gao baru sahaja menyelesai kajian tesis yang bertajuk Analisis Perspektif Terhadap Pembelajaran Bahasa Melayu Yang Disampaikan Oleh Guru Bukan Natif Dengan Guru Natif: Satu Kajian Kes Universiti Di China dalam usaha melengkapkan Sarjana Pengajian Melayu di APM.

Berkongsi pengalamannya ketika mula belajar bahasa Melayu di universiti di China, Gao memberitahu, ia tidak sukar seperti yang disangkakan.

Namun anak tunggal itu mengakui kesukaran untuk menyebut bahasa Melayu dengan betul lebih-lebih lagi membabitkan penggunaan imbuhan ayat yang tepat selain perlu fokus dengan pendengaran yang diterima.

Tambahnya, bagi melatih dirinya fasih bertutur dalam bahasa Melayu, dia lebih gemar bercakap dengan pensyarah dalam bahasa itu di dalam kelas.

“Impian saya apabila mempelajari Bahasa Melayu ini agar dapat mendalam lebih lagi kebudayaan Malaysia dan mahu berkongsi pengalaman di sini apabila saya balik ke China nanti,” katanya sambil memberitahu semua pensyarah di APM banyak membantu pelajar asing yang menuntut di sini.

Temubual bersama Pelajar Sarjana Pengajian Melayu di Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya, Mahirah (nama panggilan) Fuyi Zhou mengenai pelajar-pelajar dari China melanjutkan Sarjana Pengajian Melayu di Universti Malaya, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 25 OGOS 2023.

Bagi rakan sekuliahnya dari universiti sama, Fuyi Zhou, dia memilih Bahasa Melayu kerana tertarik dengan Malaysia selepas bersama rakannya melancong ke negara ini pada 2016.

Ketika itu, dia yang memiliki nama Melayu iaitu Mahirah, gambar-gambar kenangan yang diambil ketika bercuti amat menarik yang membuktikan Malaysia memiliki kecantikan dan keunikan sendiri.

Namun dia mengakui berdepan kesukaran pada awal pembelajaran kerana pensyarah Bahasa Melayu di Universiti Pengajian Bahasa-bahasa Asing Tianjin adalah warganegara China dan menggunakan pembelajaran bahasa yang bercampur-campur.

“Namun kami beruntung kerana pada tahun satu terdapat pelajar Malaysia di sana untuk berkomunikasi bahasa Melayu bersama sebelum diajar oleh pensyarah sepenuhnya dalam bahasa Melayu pada tahun kedua,” katanya yang memiliki Sarjana Muda Bahasa Melayu.

Zhou kini baru sahaja menyelesaikan kajian tesisnya yang bertajuk Analisis Strategi Motivasi Dalam Meningkatkan Kebolehan Berbahasa Melayu Dalam Kalangan Pelajar China

Ditanya pendapatnya tentang masa depan bahasa Melayu di persada dunia, wanita berusia 23 tahun ini yakin bahasa itu mampu pergi jauh seperti mana bahasa Inggeris yang menjadi bahasa global.

“Penggunaan bahasa Melayu mampu berkembang pesat kerana di China sahaja terdapat 13 universiti di sana yang menawarkan program bahasa Melayu ketika ini.

“Jadi saya berharap rakyat Malaysia perlu berbangga untuk bertutur bahasa Melayu di mana-mana sahaja termasuk di luar negara,” katanya.

Temubual bersama Pelajar Sarjana Pengajian Melayu di Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya, Cahaya (nama panggilan) Mai Jiayu mengenai pelajar-pelajar dari China melanjutkan Sarjana Pengajian Melayu di Universti Malaya, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 25 OGOS 2023.

Sementara itu, seorang lagi pelajar iaitu Mai Jiayu, 24, mengakui tertarik untuk belajar Bahasa Melayu sejak 2017 kerana dia mahu mendalami kebudayaan di Malaysia dalam menerokai perbezaan keunikan sesebuah negara.

Jiayu yang mesra dipanggil nama Melayu iaitu Cahaya dan memiliki Sarjana Muda Pengajian Melayu dari Universiti Pengajian Antarabangsa Xi’an mengakui kesukaran untuk belajar Bahasa Melayu di China kerana kurang berkomunikasi dalam aktiviti harian.

Namun ia berbeza apabila menyambung pengajian di APM yang membolehkan dia bertutur bahasa Melayu lebih kerap terutama bersama rakan sekelas dari negara ini.

“Saya bersyukur kerana ibu bapa saya gembira selain memberi sokongan apabila saya mahu menyambung pengajian di UM walaupun saya perlu mengeluarkan wang sendiri belajar di sini.

“Malah lebih seronok, rakan-rakan dalam kelas sering membantu apabila tidak lokek memberi panduan dan tunjuk ajar selain pensyarah yang sangat supportive,” katanya yang berusia 24 tahun.

Jiayu yang baru selesai melengkapkan kajian tesis bertajuk Kata Pinjaman Hokkien dan Kata Pinjaman Kantonis dalam Bahasa Melayu: Satu Kajian Perbandingan berjanji akan kembali ke UM untuk menyambung pengajian Doktor Falsafah pula.

Sementara itu, kesemua pelajar dari China itu bakal menamatkan pengajian Sarjana Pengajian Melayu selepas selesai melengkapkan kajian tesis masing-masing di bawah selia Pensyarah Kanan APM, Dr Mardian Shah Omar. – MalaysiaGazette

Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya, Dr Mardian Shah Omar bersama Pelajar Sarjana Pengajian Melayu Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya, dari kiri, Jamilah (nama panggilan) Yifan Gao, Cahaya (nama panggilan) Mai Jiayu, Mahirah (nama panggilan) Fuyi Zhou mengenai pelajar-pelajar dari China melanjutkan Sarjana Pengajian Melayu di Universti Malaya, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 25 OGOS 2023.