Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Polis menahan dua lelaki kerana disyaki kerana memukul dan mencederakan pekerja di sebuah restoran di Jalan Perhentian Haji Salleh, di sini,selain merosakkan harta benda di premis itu.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, kedua-dua suspek dipercayai melakukan jenayah itu disebabkan rasa tidak puas hati kerana pesanan mereka tidak dapat disiapkan dengan segera.

Katanya, pihaknya menerima aduan dari seorang perempuan berkenaan insiden berkenaan yang mendakwa pekerjanya dipukul dan peralatan kedai makan dirosakkan pada jam 8.03 pagi.

“Hasil siasatan mendapati kejadian berlaku pada jam lebih kurang 6 pagi semasa
pekerja dan pengadu sedang membuat persiapan untuk memulakan perniagaan telah didatangi seorang lelaki dikenali yang membuat pesanan minuman.

“Memandangkan gerai baru sahaja dibuka, pekerja pengadu menjelaskan pesanan tidak dapat dibuat dengan segera menyebabkan suspek bertindak memaki hamun pekerja tersebut.

“Suspek beredar setelah pesanannya diterima namun setengah jam kemudian suspek datang semula dan memaki hamun pengadu dengan perkataan kesat serta bertindak memukul kepala pekerja pengadu menggunakan sebatang penyapu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, pada kira-kira jam 8.30 pagi setelah pengadu selesai membuat laporan polis dan kembali ke premisnya, suspek yang kembali semula ke gerai pengadu itu bersama seorang rakannya yang tidak dikenali telah memaki hamun pengadu dan pekerjanya serta bertindak merosakkan peralatan di gerai tersebut.

Menurut Ahmad Sukarno, pengadu yang dalam ketakutan melihat perbuatan suspek segera menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan keselamatan.

“Bertindak atas panggilan MERS 999, pihak polis telah menghantar sepasukan anggota polis dari Cawangan Kereta peronda (MPV) ke tempat kejadian untuk memberikan bantuan sebelum kedua-dua suspek yang mengamuk berjaya ditangkap di sebuah kedai yang terletak bersebelahan dengan tempat kejadian itu bagi membantu siasatan.

“Dalam tangkapan itu, polis juga berjaya merampas sebatang cota dan sebuah topi
keledar berwarna biru yang dipercayai digunakan suspek sebagai senjata semasa kejadian jenayah tersebut.

“Pemeriksaan polis juga mendapati akibat dari insiden berkenaan, dua orang
pekerja restoran itu telah mengalami kecederaan ringan di kepala dan belakang badan serta disahkan oleh Pegawai perubatan dari Hospital Kuala Lumpur,” ujarnya.

Ahmad Sukarno berkata, pemilik restoran itu mengalami kerugian kira-kira RM12,000 ekoran daripada insiden tersebut.

Katanya,  bahawa kedua-dua suspek yang ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul akan dibawa ke mahkamah untuk permohonan reman pada pagi esok bagi membantu siasatan.

“Semakan polis juga mendapati seorang dari suspek yang ditangkap mempunyai sembilan rekod jenayah lampau pelbagai kesalahan manakala seorang lagi suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

“Kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan dengan menggunakan senjata dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana perbuatan khianat yang dilakukan ke atas premis tersebut,” ujarnya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast