JOHOR BAHRU – Kerajaan berusaha untuk mengurangkan kebergantungan import makanan dalam usaha memperkasakan sektor pertanian negara.
Perdana Menteri, Datuk Sri Anwar Ibrahim berkata, pendekatan itu antara usaha jangka sederhana yang akan diterajui Jabatan Pertanian supaya ia dapat dilaksanakan dengan menyeluruh.
Beliau berkata, negara mengimport produk makanan termasuk benih tumbuhan berjumlah hampir RM70 billion setahun.
“Kerajaan India juga dilaporkan akan naikkan cukai eksport bawang merah dan bawang putih sehingga 40 peratus, ia bukan di bawah kawalan kita.
“Ia belum dilaksanakan (cukai eskport bawang) tetapi seperti saya katakan, kita juga menjangkakan apabila dilaksanakan harga dua keperluan ini akan naik,” katanya ketika berucap pada Kenduri Rakyat dan penyampaian Bantuan Bakul Rahmah di Dataran Taman Dahlia, di sini, hari ini.
Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Timbalan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fauziah Salleh.
Menyentuh mengenai Inisiatif Payung Rahmah, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, Program Jualan Rahman (PJR) yang diperkenalkan Allahyarhan Datuk Seri Salahuddin Ayub terbukti berjaya.
Jelas beliau, PJR mencatatkan jualan tinggi dan ia membuktikan inisiatif yang dilaksanakan itu berjaya memberi manfaat kepada rakyat.
Pencapaian itu secara tidak langsung menepis kritikan sesetengah pihak terhadap kerajaan yang tidak memandang serius isu harga barang keperluan, ujarnya.
“Inisiatif yang diasaskan oleh Salahuddin memberi kesan positif meringankan bebanan rakyat.
“Semalam, dalam Jualan Rahmah di Tambun di Perak dalam tempoh 24 jam merekodkan ratusan ribu ringgit. Walaupun (inisiatif itu) dipandang enteng orang kaya, tetapi pada orang susah ia amat memberi manfaat,” katanya.
Jelas Anwar melalui Jualan Rahmah peniaga masih dapat keuntungan setimpal.
“Rakyat juga tidak menerima tekanan daripada peniaga, sehingga barang itu terlalu tinggi.
“Ada hal yang kita kawal, telur dan ayam umpamanya, untuk harga rendah, kerajaan yang tampung menerusi subsidi,” katanya. – MalaysiaGazette