Gambar hiasan.

HULU SELANGOR – Polis hari ini telah mengesahkan bahawa pihaknya menerima laporan daripada seorang anggota polis bantuan yang terserempak dengan seekor harimau belang di Kilometer 18, Jalan Batang Kali-Genting Highlands di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim berkata, laporan itu telah diterima daripada seorang lelaki tempatan berusia 56 tahun pada  lebih kurang 9.07 pagi.

“Berikutan penerimaan aduan itu, polis segera menghubungi Jabatan Perhilitan Daerah Hulu Selangor untuk membantu usaha mengesan harimau belang itu.

“Hasil daripada siasatan dan pemerhatian polis di sekitar kawasan terbabit juga mendapati tiada sebarang kesan dan tapak hidupan liar itu ditemui berikutan faktor muka bumi yang padat dan daun pokok yang tebal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Ahmad Faizal, susulan daripada laporan itu, Jabatan Perhilitan Daerah Hulu Selangor telah memasang perangkap kamera untuk mengesahkan kehadiran harimau itu.

“Sehubungan itu, orang awam yang tinggal di sekitar kawasan perumahan itu dinasihatkan agar sentiasa berwaspada ketika melakukan sebarang aktiviti rekreasi atau mendaki di kawasan terbabit.

“Ia merupakan langkah awal bagi mengelak berlakunya sebarang insiden yang tidak diingini,” katanya.

Sekiranya mempunyai sebarang maklumat penemuan berkenaan harimau belang itu, boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Selangor di talian 03-606 41222. – MalaysiaGazette