Mohamed Sukri Omar

KUALA LUMPUR – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) disaran supaya menambah guru sekolah rendah agama (SRA) dan Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) bagi menangani masalah kekurangan tenaga pengajar.

Ketua Dewan Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar berkata, dalam masa yang sama kerajaan negeri perlu menambah peruntukan supaya tenaga pengajar dalam bidang berkenaan ditambah.

Ia bagi menangani isu pertukaran guru SRA dan Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) secara besar-besaran ke luar daerah dalam notis singkat.

“Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mungkin boleh melihat perkara ini dengan menambah peruntukan bagi penambahan guru Kafa JAIS atau menyediakan elaun-elaun yang sewajarnya bagi guru tersebut,” katanya menerusi kenyataan.

Beliau menggesa supaya JAIS mengkaji semula keputusan pertukaran guru SRA da KAFA yang disifatkannya dibuat secara drastik dann bakal menjejaskan tenaga pengajar.

Jelas beliau, berpindah ke bandar khususnya membebankan kos hidup kumpulan berkenaan.

Jelas beliau, kebajikan guru KAFA dan SRA perlu diambil perhatian apabila terpaksa mengeluarkan belanja untuk berpindah.

“Pertukaran ini sangat membebankan kos kehidupan mereka, Gaji Guru Kafa tidak tinggi. Berpindah ke bandar memakan kos yang tinggi dari sudut sewa dan lain-lain,” tambahnya.

Katanya lagi, sekiranya pertukaran tetap dilaksanakan sekurang-kurangnya kumpulan tersebut diberikan elaun tambahan bagi membantu meringankan beban melalui proses di penempatan baru.

Mohamed Sukri baru-baru ini mempersoalkan tindakan JAIS yang mengeluarkan notis singkat untuk pertukaran guru SRA dan KAFA secara besar-besaran ke luar daerah di negeri tersebut.-MalaysiaGazette