Kamaludin Daud (dua dari kanan) menyampaikan anugerah Inovasi IR4.0  kepada pemenang bagi kategori inovasi produk fizikal dengan tajuk ’Pengaplikasian Teknologi Pertanian Persekitaran Terkawal (CEA) Bagi Rumah Cendawan Dengan Intergrasi Internet Of Thing (IOT) iMushroom di POLISAS, dekat Kuantan hari ini

KUANTAN – Sebanyak 145 penyertaan daripada 45 institusi pendidikan tinggi awam, swasta termasuk industri latihan kemahiran awam seluruh negara pada Program Innovation, Product Launching & Entrepreneurship 2023 (INNOPLEN’2023) pada kali ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Governan) Jabatan Pendidikan dan Kolej Komuniti (JPPKK), Kamaludin Daud berkata, penganjuran kali ketiga peringkat kebangsaan  membabitkan tiga kategori iaitu kategori inovasi produk fizikal, digital dan pendidikan.

”Kesemua penyertaan ini telah dinilai oleh 21 orang Juri daripada beberapa buah Universiti Awam dan politeknik serta pihak industri, melalui sesi penjurian dan pitching yang dilaksanakan secara dalam talian pada 14 Ogos lalu.

”INNOPLEN 2023 diadakan bagi mencungkil bakat, menonjolkan kemahiran dan membudayakan elemen kreativiti, inovasi dan keusahawanan dalam kalangan pelajar dan ahli akademik khususnya politeknik dan kolej komuniti.

”Ia dilaksanakan bagi memenuhi lonjakan ke-7 dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia, PPPM Pengajian Tinggi (PT) iaitu Ekosistem Inovasi yang menumpukan kepada melahirkan graduan holistik, berciri keusahawanan dan seimbang,” katanya ketika berucap pada majlis penutupan hari ini.

Penganjuran INNOPLEN’2023 secara langsung mampu meningkatkan imej politeknik dan kolej komuniti sebagai peneraju TVET setanding IPT yang lain

Menurutnya program ini  sekali gus dilihat mampu menyediakan peluang dan platform kepada pelajar dan pensyarah untuk mempamerkan hasil inovasi mereka dan seterusnya diangkat ke peringkat yang lebih tinggi di masa akan datang.

INNOPEN’2023 dianjurkan oleh Pusat Penyelidikan dan Inovasi (PPI), Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) bersama-sama Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS) pada 12 Jun 2023 sehingga 14 Ogos 2023.

Pada kali ini, POLISAS menjuarai Anugerah Inovasi IR4.0  bagi kategori inovasi produk fizikal dengan tajuk ’Pengaplikasian Teknologi Pertanian Persekitaran Terkawal (CEA) Bagi Rumah Cendawan Dengan Intergrasi Internet Of Thing (IOT) iMushroom.

Dalam pada itu, Kamaludin turut membuat penyerahan projek Public-Private Reasearch Network (PPRN) POLISAS kepada Pekan Permai Enterprise pada majlis tersebut.

Projek yang dibangunkan adalah Pengaplikasian Pertanian Persekitaran Terkawal (CEA) Bagi Rumah Cendawan Lestari Dengan Mengunakan Evaporated Cooling System dan Aplikasi Mobile dalam meningkatkan hasil pengeluaran cendawan.

Projek PPRN ini adalah untuk membantu usahawan industri penanaman cendawan dalam membangunkan sistem pengawalan dan pemantauan rumah cendawan yang kondusif dengan pengaplikasian Internet of Thing (IoT) bagi menyediakan persekitaran rumah cendawan yang kondusif terutamanya bagi rumah cendawan jenis kanopi.

”Rumah cendawan jenis kanopi adalah lebih murah berbanding rumah cendawan jenis bangsal, namun rumah cendawan ini sangat terkesan dengan persekitaran yang tidak kondusif terutama pada siang hari.

”Sistem ini menggunakan kaedah penyejukan penyejatan bagi menjadikan persekitaran rumah cendawan kondusif apabila diperlukan,” katanya.

Projek ini dibangunkan oleh pasukan penyelidik POLISAS, iaitu kolaborasi para Pensyarah Jabatan Kejuruteraan Elektrik dan Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, POLISAS menerusi geran penyelidikan yang diperolehi sebanyak RM49,100. – MalaysiaGazette