Dr. Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak berhak untuk melarang mana-mana pihak membicarakan soal bangsa, agama dan raja (3R) khususnya semasa musim pilihan raya.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, ini kerana larangan 3R itu terlalu umum.

“Kerajaan tidak boleh larang apa-apa melainkan ia ada kaitan dengan keselamatan negara. Larang 3R terlalu umum. Tidak dijelas kenapa dan bagaimana bercakap berkenaan 3R boleh mencetus bahaya terhadap negara.

“Apakah kalau saya kata saya orang Melayu, maka ia mengancam keselamatan negara.

“Jika saya kata orang Melayu menghadapi masalah, maka saya dianggap sebagai pemberontak yang polis perlu soal saya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan Dr Mahathir telah diambil keterangan bagi membantu siasatan berhubung kenyataan berunsur penghinaan ke atas Institusi Diraja dan Proklamasi Orang Melayu.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Noorsiah Saaduddin berkata, keterangan Dr Mahathir diambil Unit Siasatan Jenayah Terkelas, D5 Bukit Aman di Yayasan Albukhary di sini pada 10.30 pagi, 2 Julai lalu.

Dr Mahathir juga mempersoalkan jika beliau menyebut tentang agama Islam yang dianutinya boleh melanggar arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kalau saya salah maka Perlembagaan juga salah kerana Perlembagaan menyebut “Islam” sebagai agama rasmi Malaysia.

“Salahkah kalau saya kata kita punyai Raja Berperlembagaan,” katanya.

Tambah Dr Mahathir, larangan yang dibuat terlalu umum sehingga rakyat takut disalahkan apabila menyebut bangsa, agama dan raja.

“Polis ikut penceramah seolah-olah hendak cekup mereka. Ini tidak sihat. Rakyat berhak bercakap berkenaan masalah mereka.

“Apa gunanya pilihan raya jika masalah rakyat tidak boleh disuarakan oleh rakyat dan oleh calon yang berjuang untuk rakyat,” katanya.

Beliau mempersoalkan lagi hak Perdana Menteri untuk membuat larangan itu kerana negara ini ditadbir mengikut undang-undang.
“Tiap suatu hendak diperbuat oleh kerajaan ada caranya. Kita punyai Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

“Ada cara tertentu untuk melulus undang-undang. Perdana Menteri bukan bebas untuk membuat undang-undang. Polis dan MACC juga tidak bebas bertindak sesuka hati. Semua gerakan kerajaan mempunyai cara dan undang-undang yang perlu diikuti,” katanya.

Menurutnya lagi, larangan 3R itu tidak lebih sekadar tindakan perdana menteri mahu merampas hak rakyat dan parti-parti politik bercakap.

“Cuma pemerintahan kuku besi sahaja yang memberi kuasa tanpa had kepada pemerintah. Sudahkah kita sampai ke peringkat itu?

“Itu soalannya. Lebih-lebih lagi pelakunya ialah seorang reformis yang kononnya menolak cara pemerintahan kuku besi?” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.