tanah Melayu Apandi Perlembagaan
Dr Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia dilaporkan sekali lagi merakam percakapan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad selama 30 minit hari ini.

Ketua Penerangan Pejuang, Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, anggota Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman bertemu Mahathir di Yayasan Al Bukhary pada pukul 3 petang tadi.

Beliau mendakwa, rakaman itu berkaitan penglibatan Mahathir dalam program Sidang Meja Bulat Proklamasi Orang Melayu dan sidang media yang diadakan sejurus selepas acara tersebut.

“Seperti mana biasa Tun telah menyatakan bahawa beliau akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis dan akan menjawab kesemua soalan di mahkamah.

“Akhir sekali Tun juga menyatakan bahawa kenyataan beliau kepada polis adalah jelas bahawa mana-mana kenyataan secara bertulis, ucapan beliau dan sebagainya adalah berdasarkan pengalaman beliau sebagai perdana menteri selama 22 tahun, 22 bulan,” kata Muhammad Rafique.

Turut dirakam percakapan adalah bekas Timbalan Presiden Parti Pejuang Tanah Air, Datuk Marzuki Yahya dan bekas anggota parti itu, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.

Sebelum ini, media melaporkan Mahathir telah diambil keterangan bagi membantu siasatan berhubung kenyataan berunsur penghinaan ke atas Institusi Diraja dan Proklamasi Orang Melayu.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Saaduddin berkata, keterangan Mahathir diambil Unit Siasatan Jenayah Terkelas, D5 Bukit Aman di Yayasan Albukhary pada 10.30 pagi, 2 Julai lalu.

Dalam kenyataan pagi tadi, Mahathir berkata, Kerajaan tidak berhak untuk melarang mana-mana pihak membicarakan soal bangsa, agama dan raja (3R) khususnya semasa musim pilihan raya.

“Kerajaan tidak boleh larang apa-apa melainkan ia ada kaitan dengan keselamatan negara. Larang 3R terlalu umum. Tidak dijelas kenapa dan bagaimana bercakap berkenaan 3R boleh mencetus bahaya terhadap negara.

“Apakah kalau saya kata saya orang Melayu, maka ia mengancam keselamatan negara.

“Jika saya kata orang Melayu menghadapi masalah, maka saya dianggap sebagai pemberontak yang polis perlu soal saya,” katanya. – MalaysiaGazette