KUALA LUMPUR – Malaysia tidak iktiraf tuntutan China di Laut China Selatan, seperti yang digariskan dalam “Peta Standard China Edisi 2023” yang meliputi kawasan maritim negara ini.
Kementerian Luar berkata, Malaysia secara konsisten menolak tuntutan kedaulatan, hak kedaulatan dan bidang kuasa mana-mana pihak asing ke atas fitur maritim atau kawasan maritim negara ini di Sabah dan Sarawak berdasarkan Peta Baru Malaysia 1979.
Seperti yang ditegaskan Kerajaan Malaysia berhubung isu Laut China Selatan sebelum ini termasuk isu persempadanan maritim,
“Malaysia berpandangan bahawa isu Laut China Selatan merupakan isu yang kompleks dan sensitif.
“Isu ini perlu dikendalikan secara aman dan rasional melalui dialog dan rundingan berdasarkan peruntukan undang-undang antarabangsa, termasuk Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 1982 (UNCLOS 1982),” kata Kementerian Luar dalam kenyataan hari ini.
Kenyataan ini susulan tindakan China yang mengeluarkan “Peta Standard China Edisi 2023” yang meliputi kawasan maritim zon ekonomi eksklusif (EEZ) Malaysia berhampiran Sabah dan Sarawak, Brunei, Filipina, Indonesia dan Vietnam, selain beberapa kawasan di India.
Kementerian itu menegaskan, Malaysia komited untuk terus bekerjasama bagi memastikan semua pihak melaksanakan Deklarasi Tatalaku Pihak–pihak Berkepentingan di Laut China Selatan (DOC) secara menyeluruh dan efektif.
Malah, Malaysia juga komited terhadap proses rundingan Kod Tatalaku di Laut China Selatan (COC) yang efektif dan substantif, serta terhadap sasaran untuk memuktamadkan COC seawal mungkin, kata kementerian itu. – MalaysiaGazette