KUALA LUMPUR – Seorang lelaki maut selepas ditembak ketika berada di kawasan Jalan Hamzah Alang, Persiaran Hamzah Alang di Klang, semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner, Vijaya Rao Samachulu, pihaknya menerima aduan berkaitan satu kejadian tembakan yang berlaku di kawasan Kapar.
Bertindak atas maklumat itu, beliau berkata, sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara digegaskan ke lokasi kejadian berhadapan dengan rumah kedai dua tingkat pada pukul 10.35 malam.
“Siasatan awal mendapati, saksi awam terdengar bunyi beberapa das tembakan dan ada kemalangan kecil di sekitar lokasi tempat kejadian.
“Mangsa berusia 36 tahun itu mempunyai 12 rekod jenayah lampau jenayah berkaitan dadah dan jenayah kekerasan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Vijaya Rao berkata, polis sedang mengesan beberapa saksi bebas di tempat kejadian.
“Usaha mencari bukti dan kamera litar tertutup sedang dijalankan bagi mengesan suspek terbabit.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya. – MalaysiaGazette