ALOR GAJAH – “Kemerdekaan perlu dihayati, sebab itu saya sanggup berjaga sehingga pukul 4 pagi tadi bersama anak untuk menyiapkan hiasan basikal dan pakaian bertemakan Hari Kebangsaan hari ini.
“Saya mahu anak-anak merasai sendiri pengalaman sambut merdeka yang bukan sahaja melihat di kaca televisyen.”
Itu perasaan dikongsi Nur Zurainiza Mohmad, 36, yang sanggup berhabisan sehingga RM200 untuk menyiapkan dua buah basikal berhias dan pakaian anaknya, Nur Adra Mohd Khalid, 4 dan Muhammad Amsyar, 8.
Menurutnya, dia dan suami Mohd Khalid Mahat, 36, tidak kisah berbelanja lebih dan meluangkan masa serta tenaga demi menanamkan semangat cintakan negara terhadap anak.
“Bak kata orang, kalau hendak melentur buluh, biarlah dari rebungnya sebab itu saya mahu didik anak menghayati semangat patriotik sejak kecil dan bukan setakat ungkapan di bibir.
“Usaha ini juga secara tidak langsung dapat merapatkan hubungan kekeluargaan dan masyarakat setempat apabila ramai yang mengambil bahagian dalam acara sambutan,” katanya.
Dia berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Sambutan Bulan Kemerdekaan Ke-66 Taman Bukit Tambun Perdana, Durian Tunggal, di sini hari ini.
Sementara itu, Pengerusi persatuan penduduk, Mohamad Hafiz Abd Ghani berkata, sambutan itu adalah kali pertama diadakan sejak taman itu mula dibuka tiga tahun lalu.
“Tujuan kita adalah untuk memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum melalui pertandingan patriotik antaranya pertandingan larian, pakaian dan basikal berhias.
“Alhamdulillah, walaupun pertama kali diadakan, kita berjaya kumpulkan hampir 500 penduduk yang mana pada masa sama kita juga adakan kutipan derma untuk pembinaan surau taman ini,” katanya. – MalaysiaGazette