Antara bayi yang dilahirkan pada tanggal 31 Ogos semasa tinjauan lensa Malaysia Gazette pada Program Sambutan Bayi Merdeka oleh Yayasan Kita Anak Malaysia sempena Hari Kebangsaan 2023 di Hospital Shah Alam, Selangor.

SHAH ALAM – Sambutan Hari Kebangsaan 2023 diserikan dengan kelahiran tujuh bayi “merdeka” di Hospital Shah Alam di sini bermula pukul 12.17 tengah malam sehingga pukul 9.34 pagi tadi.

Bayi tersebut terdiri lima lelaki dan dua perempuan masing-masing dilahirkan secara normal dan pembedahan.

Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Kita Anak Malaysia, Prof. Madya Dr. Sara Chinnasamy berkata, kesemua bayi itu diraikan dalam program Anak Malaysia sempena hari kemerdekaan yang disambut hari ini oleh seluruh rakyat Malaysia.

Katanya, kelahiran bayi-bayi itu mewarnai sambutan Hari Kebangsaan dan ia sudah pasti menjadi lambang kebanggaan kepada ibu-ibu yang melahirkan pada hari yang penuh bersejarah ini.

“Sambutan Hari Kebangsaan lebih meriah dengan kelahiran bayi-bayi ini. Mereka merupakan insan istimewa untuk negara.

“Tidak semua orang dapat merasakan nikmat bertuah melahirkan anak pada sambutan Hari Kebangsaan negara yang amat kita cintai ini,” katanya.

Dr. Sara berkata, besarlah harapan agar bayi-bayi tersebut akan menjadi insan yang berguna pada nusa dan bangsa di masa akan datang.

Katanya, sejarah akan tersemat dalam kehidupan bayi-bayi ini, yang akan mereka kenang setelah dewasa nanti.

Ujarnya, mereka pasti akan berbangga setiap kali tibanya sambutan Hari Kebangsaan dan ia akan memberi makna mendalam khususnya dalam mengenal erti perjuangan dan semangat untuk cintakan negara.

Pada majlis itu, kesemua bayi-bayi Merdeka menerima hamper sumbangan daripada Yayasan Kita Anak Malaysia.

Sumbangan seperti itu merupakan satu acara tahunan sejak penubuhan yayasan berkenaan pada 2021. – MalaysiaGazette