KUALA LUMPUR – Tourism Malaysia memperkenalkan pengalaman ’healing’ serta percutian gaya santai melalui campervan menerusi Jelajah Campervan Pantai Timur 2023 (JCPT) selama empat hari bermula hari ini.
Pengarah Tourism Wilayah Tengah, Azmi Abdullah berkata, langkah itu diambil bagi mempromosi dan merantau oleh 11 peserta menggunakan lima buah motorhome ke tempat yang menarik di tiga negeri di Pantai Timur.
Menurutnya percutian gaya baharu diperluaskan ini sebenarkan telah lama sinonim di Eropah, Amerika termasuk di New Zealand, Jepun dan Australia.
”Melalui program ini, peserta akan dibawa untuk alami sendiri satu pengalaman baru dan unik bercuti menggunakan campervan.
”Percutian gaya ini telah lama popular di negara luar yang kini menjadi antara pilihan percutian keluarga di Malaysia, terutamanya yang inginkan kebebasan masa, keselesaan, kebersamaan keluarga serta mengurangkan hubungan dengan orang ramai.
Menurutnya, percutian dengan konsep ’healing’ ini mula mendapat tempat sejak negara melalui fasa pemulihan dari Covid-19 kerana ia lebih privasi.
Sesi perlepasan kesemua peserta dilakukan di Matic Kuala Lumpur jam 8 pagi tadi.
Hadir sama, Timbalan Pengarah Bahagian Domestik & Acara Tourism Malaysia, Wan Eikmal Khalil.
”Percutian ini mungkin tidak sama dengan pengalaman cuti biasa kerana konsepnya yang lebih santai dengan keperluan minimum tapi mencukupi untuk memberikan keselesaan.
”Segmen ini perlu dibangunkan memandangkan ia semakin mendapat tempat dan minat oleh para pelancong dalam negara kita. Konsepnya bergantung ruang dan kemudahan maka pengunjung akan menuju di hotspot sesuatu kawasan berkenaan,” katanya ketika berucap hari ini.
Program JCPT disertai MalaysiaGazette, para blogger dan pengendali pusat percutian dalam negara yang akan merasai pengalaman sendiri bermusafir dan bermalam dalam campervan.
Pengembaraan 1 hingga 4 September bermula di Kuala Lumpur menuju ke negeri Cik Siti Wan Kembang dan melawat di Muse Eco Park, di Gua Musang serta bermalam di Lata Kashmir, Jeli.
Kemudian sesi perjalanan konvoi akan diteruskan di Terengganu dan berakhir di Kuantan, Pahang. – MalaysiaGazette