Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama timbalannya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz bergambar bersama buku Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP) selepas melancarkannya di Dewan Perdana, Menara MITI, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 01 SEPTEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Kerajaan komited sepenuhnya untuk menyokong pelaksanaan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dengan anggaran jumlah pelaburan RM95 bilion sepanjang tujuh tahun.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelaburan tersebut adalah daripada sektor swasta, digerakkan daripada ekuiti swasta, modal dan pasaran kewangan.

Manakala hampir 10% akan diperuntukkan oleh kerajaan untuk membantu memangkin dan memberi pelbagai insentif pelaburan ini melalui Dana Pembangunan Perindustrian NIMP dan Dana Pelaburan Bersama Strategik NIMP.

Anwar berkata, NIMP2023 adalah dasar tepat pada masanya yang memberi peluang untuk membina daya tahan Malaysia berdasarkan trend geopolitik global yang mengalihkan pengeluaran rantaian bekalan ke Asia Tenggara.

Jelasnya, NIMP 2030 direka untuk meletakkan Malaysia sebagai kuasa ekonomi serantau, sekali gus akan memastikan pengagihan kekayaan ekonomi yang adil kepada rakyat.

“Pelancaran NIMP2030 adalah komponen utama Ekonomi Madani kerana ia akan menyokong merealisasikan pembaharuan ekonomi yang bercita-cita tinggi, kata beliau ketika melancarkan NIMP 2030 di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Menteri MITI, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

NIMP2030 akan meningkatkan nilai sektor pembuatan kepada RM587.5 bilion menjelang 2030, pertumbuhan 6.5% berbanding hari ini.

NIMP 2030 juga akan memanfaatkan struktur perindustrian Malaysia yang matang dengan ketersambungan yang baik, lokasi strategik dan reputasi sebagai salah satu destinasi utama untuk inovasi.

Sebanyak empat misi ditetapkan menerusi Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) bagi memacu transformasi industri berskala besar ini, yang akan menghasilkan pertumbuhan 2.3 peratus mulai tahun ini dan seterusnya, menyediakan peluang pekerjaan untuk 3.3 juta orang menjelang 2030.

“Apa yang paling penting ialah unjuran melalui campur tangan NIMP, gaji median dalam sektor pembuatan dijangka berkembang sebanyak 9.6 peratus, mencecah RM4,510 daripada RM1,976, iaitu di bawah purata nasional walaupun sektor itu memainkan peranan dominan dalam keluaran dalam negara kasar (KDNK).

“Peningkatan 128 peratus daripada 2021 ini didorong oleh peralihan industri ke arah aktiviti nilai tambah yang lebih tinggi dan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi yang diwujudkan,” kata Anwar, yang juga Menteri Kewangan pada majlis itu.

Anwar melahirkan keyakinan bahawa NIMP 2030 akan membantu dalam harapan negara untuk Malaysia yang lebih baik, lebih bermaruah dengan menyediakan panduan yang diperlukan dan hala tuju yang jelas untuk pembangunan sektor pembuatan bagi mengukuhkan kedudukannya sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi dan kemakmuran negara.

“Kerajaan juga akan memastikan pelan itu dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh dan memberi manfaat bukan sahaja kepada sektor swasta melalui prospek pelaburan dan perdagangan yang lebih baik tetapi juga rakyat melalui peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dan berpendapatan tinggi,” tambahnya.

Namun beliau menegaskan bahawa visi NIMP 2030 hanya boleh direalisasikan dengan jayanya jika “kita bekerjasama dalam perpaduan, ke arah mencapai misi.

“Hanya dengan komitmen terhadap perpaduan kita dapat memenuhi harapan kita untuk negara,” ujarnya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast