Anggota polis trafik membuat pemeriksaan terhadap penunggang motosikal dalam operasi ambang merdeka yang dilaksanakan di sekitar Ampang pada Rabu lepas. Gambar: Facebook: Friends of Trafik Ampang

KUALA LUMPUR – Sebanyak 55 saman dikeluarkan
dan lapan buah motosikal disita dalam operasi ambang merdeka yang dilaksanakan di sekitar Ampang pada Rabu lepas.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, kesemua saman dan penyitaan kenderaan itu dibuat menerusi operasi berasingan yang bermula pukul 9 malam.

Operasi-operasi itu kata beliau, iaitu Operasi Khas Pencegahan Jenayah di Jalan Bunga Raya, Taman Kencana serta Op Samseng Jalanan di Jalan Ampang, Jalan Putra, Bukit Saujana Ampang Saujana serta Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE).

Menurutnya, antara kesalahan yang ditemui dalam operasi itu ialah tiada lesen memandu dan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi.

“Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya turut menyita lapan motosikal jenis Yamaha LC135 (4), Yamaha Y15 (2) dan Honda Wave (2) untuk tindakan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan.

Jelas beliau, sitaan dibuat kerana penunggang tiada lesen memandu serta ubah suai ekzos.

Tambahnya, operasi berkenaan dilakukan bagi mengesan dan sebagai langkah pencegahan terhadap aktiviti tidak sihat pengguna motosikal ketika semangat meraikan ambang merdeka.

“BSPT IPD Ampang Jaya akan meneruskan operasi penguatkuasaan ini pada bagi memastikan semua pengguna kenderaan mematuhi peraturan dan undang-undang lalu lintas,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast