Najib UMNO
Sentuhan Datuk Seri Najib Razak telah membantu BN dan UMNO beroleh majoriti lebih dua pertiga pada PRN Melaka dan Johor.

SEJAK bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dipenjarakan lebih setahun lalu, UMNO dan Barisan Nasional (BN) dilihat masih lagi terkontang-kanting untuk memenangi semula hati rakyat khususnya orang Melayu.

Hakikat itu telah dibuktikan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan pilihan raya negeri (PRN) di Selangor, Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

Pada PRU15, BN hanya memenangi sebanyak 30 kerusi Parlimen, prestasi yang jauh lebih buruk berbanding 79 kerusi pada PRU14 di mana UMNO dan BN ketika itu masih diketuai Najib.

Begitu juga dengan enam PRN pada 12 Ogos lalu yang menyaksikan UMNO selaku wakil tunggal BN hanya memenangi 19 daripada 108 kerusi DUN yang ditandingi.

Lebih menyedihkan, BN dan UMNO disingkirkan sepenuhnya di Terengganu apabila gagal memenangi walau satu kerusi Parlimen dan DUN di negeri berkenaan.

Sebelum itu, BN mencatatkan kemenangan bergaya pada PRN Melaka serta Johor dengan beroleh majoriti melebihi dua pertiga, hasil sokongan padu Najib ketika turun padang membantu kempen parti.

Sememangnya, sentuhan Najib yang lebih popular dengan gelaran Bossku amat diperlukan bagi menaikkan semula semangat akar umbi UMNO dan BN yang jatuh merudum selepas prestasi buruk pada PRU15 dan enam PRN.

Walaupun beliau berada di sebalik tirai besi, pengaruhnya terhadap sebahagian besar ahli dan penyokong UMNO dan BN tidak pernah pudar.

Mereka telah ‘mengajar’ kepimpinan UMNO dan Pakatan Harapan (PH) tentang apa yang mereka boleh lakukan selagi Najib tidak diberi ruang sewajarnya untuk mendapat keadilan dalam kes-kes yang dihadapinya.

Najib telah membuktikan keupayaannya memberi sumbangan yang besar dalam usaha membangkitkan semula UMNO serta kembali memperkukuhkan MIC dan MCA agar BN mampu kembali sebagai kuasa politik yang dominan.

Namun, agak sukar bagi Najib untuk membantu UMNO dan BN pada PRU16 dan beberapa PRN akan datang sekiranya beliau tidak mempunyai kebebasan untuk bertemu dengan rakyat dan penyokong tegarnya.

Dalam hal ini, UMNO perlu lebih lantang dan tegas dalam menuntut keadilan untuk Najib, sama seperti yang pernah diperjuangkan oleh PKR dan sekutu-sekutunya dalam PH terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim dahulu.

UMNO sepatutnya lebih konsisten dalam menggesa siasatan dilakukan terhadap isu kebocoran memo dalaman Pejabat Peguam Negara (AGC) yang dikeluarkan ketika era Tan Sri Tommy Thomas.

Selepas Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh mendesak agar kesahihan dokumen tersebut disiasat pada 19 Ogos lalu, boleh dikatakan hanya seorang dua pemimpin UMNO yang lain membuat desakan serupa.

Jika UMNO masih bersikap ‘hangat-hangat tahi ayam’ dalam memperjuangkan keadilan untuk Najib, tidak mustahil parti yang semakin luntur pengaruhnya dalam kalangan orang Melayu itu akan ‘ditampar’ sekali lagi pada PRU16. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Ini sangatlah benar. Allah akan beri keadilan kepada Najib dan akan menterbalikan setiap manusia yang berhati binatang seperti di tompok dan si tua kutuk. Harap Najib tidak berdarah putih seperti Puteri Limau Purut dan Mahsuri.

  2. sudah sampai masa hayat UMNO berakhir . tak ada ubat yang boleh menipu rakyat walau dengan jampi ketuhanan sekali pun . keadilan berada ditangan hakim bukan ditangan rakyat yang mudah ditipu oleh suasana kasih. sayang . memang kasih sayang menghalalkan cara tapi tidak hakim . hakim bijak sana menegaskan kebenaran . kecuali hakim yang curang

Comments are closed.