Timbalan Presiden Majlis Pemerkasaan Pendidikan Negara (MPPN), Professor Dr. Baharulmazi Edrak bercakap pada media setelah selesai Majlis Menandatangani Perjanjian bersama European Education Board, Friends of Bukit Bintang, Majlis Pemerkasaan Pendidikan Negara di Auditorium Bangunan Menara Dato Onn WTC, Kuala Lumpur. Foto QURRATU AINI, 2 SEPTEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Majlis Pemerkasaan Pendidikan Negara (MPPN) menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membawa kertas putih ke Parlimen bagi mengkaji struktur pendidikan negara secara komprehensif dan holistik.

Timbalan Presidennya, Prof Dr Bahrulmazi Edrak berkata, rakyat ketika ini merasakan pendidikan negara tidak mencerminkan keperluan negara dan dunia serta gagal menarik minat pelajar untuk menuntut ilmu.

“Saya percaya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai visi yang besar. Pada 1987, beliau melaksanakan satu falsafah pendidikan yang paling mudah iaitu 3M (Membaca, Menulis dan Mengira) dan masih digunakan hari ini.

“Tapi sekarang struktur pendidikan di negara ini harus diubah mengikut peredaran masa.

“Saya percaya Datuk Seri Anwar mempunyai jiwa besar dan pendidik harus membuat satu kertas putih dan dibentang ke Parlimen agar rakyat dapat tahu mengenai isu-isu pendidikan negara,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Presiden Majlis Pemerkasaan Pendidikan Negara (MPPN), Dr. Zam@Abdul Razak bin Zamri (tengah) bergambar setelah menandatangani perjanjian bersama Presiden European Education Board, Professor Dr. Graham John Baldwin (kiri) di Auditorium Bangunan Menara Dato Onn WTC, Kuala Lumpur. Foto QURRATU AINI, 2 SEPTEMBER 2023.

Terdahulu Presiden MPPN, Dr Zam@Razak Zamri menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian antara pihaknya dengan European Education Board (EEB) dan Friends of Bukit Bintang.

Perjanjian itu antara lain bertujuan menjalinkan satu ikatan kerjasama alternatif dalam memperkasakan pendidikan negara.

Hadir sama, Presiden EEB, Prof Dr Graham John Baldwin dan Naib Ketua UMNO Bahagian Bukit Bintang, Ridzuan Zambry.

Tambah Bahrulmazi, jika kerajaan tidak melakukan penstrukturan semula atau reformasi pendidikan, beliau khuatir perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini semakin terhakis.

“Saya tidak mahu melihat polarisasi pendidikan negara makin membesar, orang Cina pergi ke kolej Cina, orang Melayu tercari-cari sekolah yang sesuai, orang Melayu dan Cina dari T20 pergi ke sekolah antarabangsa.

“Apa jadi dengan bangsa kita? Apa jadi dengan pendidikan negara kita? Kita hanya sibuk dengan pendidikan tinggi yang kononnya menyatukan setiap bangsa, tapi hakikatnya kesatuan itu harus bermula dari kecil,” katanya.

Katanya lagi, sekolah kebangsaan telah tidak lagi menjadi sekolah keutamaan bagi masyarakat bukan Melayu dan golongan Melayu T20.

“Jika sekolah aliran kebangsaan ini memperkenal bahasa ketiga sebagai mata pelajaran elektif, ini akan dapat melahirkan anak-bangsa yang multi-linguist pada masa akan datang.

“Tidak mustahil anak bangsa Malaysia boleh menakluk dunia kembali dengan menguasai bahasa utama di samping memartabatkan bahasa Melayu sebagai lingua franca di rantau ini,” katanya.

Katanya lagi, dengan memperkenalkan Bahasa Mandarin, Arab, Hindi, Sepanyol, Jepun, Korea dan sebagainya, sekolah kebangsaan boleh menjadi sekolah keutamaan untuk ibu bapa untuk menghantar anak-anak ke sekolah.

“Atas sebab itu kami menyarankan Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pendidikan Tinggi membuat satu kajian secara komprehensif dan holistik bagi bagi menyarankan satu rangka kerja pendidikan negara untuk alaf baru ni.

“MPPN menawarkan diri untuk menerajui satu jawatankuasa kerja bagi menggerakkan inisiatif ini. Saya percaya satu reformasi pendidikan negara perlu dilaksanakan dengan segera agar negara tidak ketinggalan dalam menguasai ilmu pengetahuan terkini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette