Presiden Majlis Pemerkasaan Pendidikan Negara (MPPN), Dr. Zam@Abdul Razak bin Zamri (tengah) bergambar setelah menandatangani perjanjian bersama Presiden European Education Board, Professor Dr. Graham John Baldwin (kiri) di Auditorium Bangunan Menara Dato Onn WTC, Kuala Lumpur. Foto QURRATU AINI, 2 SEPTEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Kerjasama antara Majlis Pemerkasaan Pendidikan Negara (MPPN) dengan Lembaga Pendidikan Eropah (EEB) penting dalam usaha untuk memberi pengiktirafan kepada golongan muda dalam pendidikan tinggi.

Timbalan presidennya, Prof Dr Bahrulmazi Edrak berkata, ia selaras dengan agenda kerajaan untuk menggalakkan golongan muda menyertai Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Sebab itu kita tengok sistem pendidikan di Eropah agak liberalisasi, mereka mengiktiraf kesetaraan pengalaman sebelum ini dan sebab itu kita bawa Program Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (RPEL).

“Ramai sarjana tidak melalui proses formal tetapi mereka penyumbang kepada pendidikan dan sosioekonomi negara-negara Eropah, malah ia berkembang ke Amerika dan Australia.

“Saya percaya negara tidak terlewat untuk menggerakkan RPEL di mana ia menggalakkan satu alternatif pengiktirafan pendidikan secara formal yang dilalui secara pengalaman ataupun kemahiran oleh setiap orang.

“Saya nampak ia satu inisiatif besar dan selari dengan kerajaan serta agenda negara supaya negara akan terus dapat melahirkan bakat-bakat dan tenaga kerja untuk negara mahupun luar negara,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Presiden Majlis Pemerkasaan Pendidikan Negara (MPPN), Dr. Zam@Abdul Razak bin Zamri (enam kiri) dan Presiden European Education Board, Professor Dr. Graham John Baldwin (tujuh kanan) bergambar bersama wakil institusi pendidikan tinggi swasta di Auditorium Bangunan Menara Dato Onn WTC, Kuala Lumpur. Foto QURRATU AINI, 2 SEPTEMBER 2023.

Terdahulu Presiden MPPN, Dr Zam@Razak Zamri menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian antara pihaknya dengan European Education Board (EEB) dan Friends of Bukit Bintang.

Perjanjian itu antara lain bertujuan menjalinkan satu ikatan kerjasama alternatif dalam memperkasakan pendidikan negara.

Hadir sama Presiden EEB, Prof Dr Graham John Baldwin dan Naib Ketua UMNO Bahagian Bukit Bintang, Ridzuan Zambry.

Majlis Pemerkasaan Pendidikan Negara (MPPN) merupakan pertubuhan bukan kerajaan yang ditubuhkan pada 28 Julai 2020.

Penubuhan MPPN bertujuan membantu kerajaan dan institusi pendidikan dalam memperkasakan pendidikan negara dengan mengarap kepentingan semua pelajar tanpa had umur, jantina dan bangsa.

EEB pula adalah satu badan akreditasi Eropah yang mengakreditasi sistem pendidikan dari peringkat pendidikan awal kanak-kanak sehingga ke pendidikan tinggi.

Selain itu EEB juga mengakreditasi sistem pendidikan sebagai satu ekosistem di mana komuniti, syarikat dan pemegang taruh lain juga boleh dilibat sama secara Environmental, Social and Governance (ESG) framework.

Dalam pada itu, MPPN menyasarkan pelaksanaan kerjasama itu dapat dilakukan antara satu hingga dua tahun akan datang.

“MPPN dan institusi yang berdaftar dengan MPPN, akan menjadi pilihan utama oleh pelajar dalam bidang TVET dan RPEL di Malaysia mahu pun luar negara.

“Ia akan menyediakan pensijilan antarabangsa bagi pelajar dan membolehkan pengiktirafan kemahiran dan pengalaman mereka ini digunakan di seluruh dunia,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast