PTTI diiktiraf oleh Malaysia Book Of Records (MBOR) apabila berjaya mencatat jumlah pelajar mendapat semua A pada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022.

KUALA LUMPUR – Pusat peningkatan akademik dan pakar dalam membantu pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), PTTI diiktiraf oleh Malaysia Book Of Records (MBOR) apabila berjaya mencatat jumlah pelajar mendapat semua A pada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022.

Ketua Pegawai Operasi PTTI Group Sdn. Bhd, Muhd. Habibunajjar Sazali berkata, seramai 123 pelajar berjaya mendapat semua A pada SPM lalu termasuk seorang pelajarnya yang mendapat 11 A+.

“Ini adalah satu pengiktirafan besar daripada pihak MBOR kepada PTTI yang sudah bertapak di negara ini sejak 2015.

“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada MBOR kerana mengiktiraf pencapaian kami. Kami akan terus bekerja keras untuk memastikan sebanyak mungkin pelajar kami mendapat keputusan cemerlang dalam SPM tahun ini,” katanya selepas majlis menerima sijil pengiktirafan daripada MBOR di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini, hari ini.

Sijil itu diserahkan oleh dua wakil MBOR, Siti Hajar Johor dan Jeska Seah.

Berkongsi lanjut, Habibunajjar berkata, pihaknya meletakkan sasaran sekurang-kurangnya 1,000 pelajar daripada keseluruhan lebih 10,000 pelajarnya untuk mendapat keputusan semua A dalam SPM tahun ini.

“Kami sedia maklum mengenai keputusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang dalam proses untuk mengembalikan takwin SPM seperti sebelum pandemik Covid-19.

“Kami kini sedang menyusun semula program tuisyen PTTI bagi menyesuaikan dengan pelaksaan peperiksaan berkenaan,” katanya. – MalaysiaGazette