JOHOR BAHRU – Kerajaan Sabah telah memperkemaskan insfrastuktur di negeri itu bagi persediaan menyambut kunjungan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billal Shah dan Raja Permasuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang berkenan memulakan jelajah Kembara Kenali Borneo pada 7 hingga 13 September ini.
Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, kunjungan itu pastinya memberi inspirasi kepada rakyat di Sabah di mana insfrastuktur juga akan dipercepatkan dan diperkemaskan lagi.
“Alhamdulilhah kita menanti kehadiran Seri Paduka Yang di- Pertuan Agong di Sabah dengan adanya kehadiran baginda kerajaan negeri telah memperkemaskan mempersiapkan insfrastuktur di Sabah dan ini memberi Paduka Baginda merasa pembangunan kita rancang selama ini.
“Walaupun belum mencapai tahap seratus peratus tetapi kita juga meminta Perdana Menteri menyegerakan pembinaan Pan Borneo di Sabah dalam pakej yang belum dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai persediaan negeri itu sempena Kembara Kenali Borneo tidak lama lagi.
Konvoi Seri Paduka di Sabah akan membabitkan perjalanan sejauh 1,198 kilometer (km).
Ia dijadualkan bermula dari arah utara hingga ke hujung selatan Sarawak iaitu dari pintu masuk Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) Merapok, Lawas, hingga Telok Melano.
Secara rasmi, rombongan Seri Paduka akan tiba di Sarawak pada 7 September dari Sabah melalui jalan darat di pintu masuk ICQ Merapok dan rombongan akan terus ke Bandar Lawas menuju ke Tebingan Lawas sebelum meneruskan perjalanan ke Brunei Darussalam. – MalaysiaGazette