KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyita dan merampas aset berjumlah RM93.2 milik bekas peguam 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Jasmine Loo Ai Swan, yang disyaki diselewengkan daripada syarikat itu.
Sitaan dan rampasan itu dilakukan hasil pendedahan beliau menerusi rakaman keterangan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman selepas ditahan pada 17 Julai lalu.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kesemua aset yang disita dan dirampas itu membabitkan pembelian hartanah mewah di New York, London dan Singapura selain pelaburan di Amerika Syarikat yang didapati telah didaftarkan di atas nama Jasmine.
“Selain kediaman mewah ini terdapat juga sembilan lukisan mewah yang mana dua daripadanya adalah hasil lukisan pelukis terkemuka Sepanyol, Pablo Picasso antara yang turut dirampas dan disita PDRM.
“Salah satu daripada sembilan lukisan mewah itu (lukisan Picasso) berada di Switzerland dan selebihnya di Amerika Syarikat (AS) berjaya dirampas,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, di sini, hari ini.
Tambah beliau, menerusi pendedahan yang dilakukan Jasmine, polis melakukan pemeriksaan di sebuah kondominium miliknya di Bukit Damansara dan merampas dua utas jam tangan mewah Richard Mille dan Harry Winston, 13 buah beg tangan mewah pelbagai jenama, seutas gelang tangan berjumlah RM625,000 dan merampas pelbagai dokumen.
Menurut Ayob Khan, kesemua aset dan hartanah yang disita dan dirampas itu dilakukan di bawah Seksyan 45 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 untuk tindakan susulan.
“PDRM kini sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa di luar negara termasuk di AS, United Kingdom dan Singapura untuk mendapatkan dan membawa pulang kesemua aset milik Jasmine Loo yang disita itu.
“Untuk membawa pulang kesemua aset berkenaan hasil penyelewengan 1MDB itu akan mengambil masa yang panjang kerana ia juga perlu melalui proses melucuthakan hak milik selain kerjasama dengan pihak berkuasa di luar negara.
“Apa yang pasti, kesemua aset-aset itu akan dibawa pulang juga untuk menjalani proses undang-undang di negara ini dan kami percaya Jasmine Loo serah diri sendiri kepada PDRM pada Julai lalu kerana dia mahu menyelesaikan segala masalahnya berkaitan aset yang dimiliki menerusi 1MDB untuk jalani proses undang-undang PDRM di sini,” ujarnya.
Ditanya mengenai proses pendakwaan ke atas Jasmine, Ayob Khan berkata, siasat polis ke atas wanita itu telah selesai dan Jasmine akan diserahkan kepada agensi lain yang turut menjalan siasatan termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Katanya, tindakan undang-undang terhadap Jasmine termasuk pendakwan di mahkamah akan diputuskan oleh agensi-agensi penguatkuasa terbabit selepas selesai menjalankan siasatan. – MalaysiaGazette
Najib berkawan dengan mastermind yang sedang menyorok dan berseronok2 diluar negara dan percaya sangat kepada peguam ni akhirnya diri terpaksa merengkok 12 tahun. Ada 11 tahun lagi?
Tu la siapa suroh berkawan dan percaya dengan specis ni? Terang2an kena scam. Sendiri juga yang tanggung?
Dengan kuasa Allah SWT menjauhkan sultan dari kes ini. Kalau tidak dengan sultan pun terlibat sama kena SCAM dengan specis ni?
Apa2 pun tahniah Datuk Ayob, dipercayai banyak lagi hal2 jenayah yang boleh dirungkai dari peguam ni.