GEORGE TOWN – Polis Pulau Pinang telah membuka tiga kertas siasatan berhubung insiden pergaduhan membabitkan penyokong bola sepak Penang FC dan Kedah FC di sebuah stesen minyak selepas perlawanan akhir Liga Super pada 22 Ogos lalu.
Ketua Polis negeri, Datuk Khaw Kok Chin berkata, setakat hari ini seramai 34 individu berusia lingkungan 18 hingga 38 tahun ditahan membabitkan kes tersebut.
Jelas beliau, bagaimanapun kesemua tangkapan dibebaskan dengan jaminan polis.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh, Seksyen 427 dan Seksyen 324 akta sama kerana mendatangkan kecederaan dengan menggunakan senjata.
“Kes berkenaan masih dalam siasatan polis, sehubungan itu orang ramai dinasihatkan agar tidak menularkan rakaman video berkaitan insiden bagi mengelak sebarang spekulasi,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Lim Zhao Yong di talian 011 1907 8888 untuk membantu siasatan.
Media sebelum ini melaporkan berlaku pergaduhan antara penyokong dua pasukan bola sepak itu di pekarangan sebuah stesen minyak yang terletak tidak jauh dari stadium kira-kira jam 11.20 malam pada 22 Ogos lalu. – MalaysiaGazette