PEKAN – Tiga laporan polis dibuat bagi pihak berkuasa melakukan siasatan terhadap kesahihan memo dalaman Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung enam pertuduhan terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Mohd. Irwan Serigar Abdullah yang tular di laman media sosial, baru-baru ini.
Ketua UMNO Bahagian Pekan, Mohd Fakhrul Akhmal Mohamed berkata, ketiga-tiga laporan polis tersebut dibuat wakil Puteri, Pemuda dan Bahagian UMNO Pekan.
Mohd. Fakhrul berkata, Pemuda UMNO Pekan mengambil serius terhadap kenyataan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun yang menyatakan bahawa siasatan sedang dijalankan ke atas kebocoran dokumen tersebut.
”Bagaimanapun, sehingga ke hari ini tidak ada maklum balas sahih yang menjawab kepada tuntutan agar siasatan dijalankan sama ada dokumen tersebut berserta isi kandungannya sah ataupun tidak.
”Laporan polis tersebut telah dibuat oleh Ryana Fitry Hermanetty Lukman, Hafizul Rahman Mazlan dan Mohd Hazwan Md Ghazali di IPD Pekan hari ini,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette.
Pada 19 Ogos lalu, Pemuda UMNO Malaysia menggesa Idrus Harun menyiasat kesahihan dokumen mengenai enam pertuduhan terhadap Najib dan Mohd. Irwan Serigar Abdullah yang tular di media sosial.
Pada 28 Ogos, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengeluarkan kenyataan menggesa pihak berkuasa bagi menyiasat memo dalaman Jabatan Peguam Negara itu.
Menurutnya sehingga ke hari ini, tidak ada mana-mana pihak yang boleh mengesahkan kesahihan dokumen tersebut di mana secara tidak langsung memberikan impak negatif kepada tahap keyakinan orang awam kepada Jabatan Peguam Negara. – MalaysiaGazette